Warga emas guna perahu bantu pindahkan mangsa banjir

0
151

PENGALAMAN perit dilalui keluarganya setiap kali berdepan musibah banjir menyebabkan seorang warga emas bertekad menyumbangkan kudrat bagi membantu pihak berkuasa secara sukarela. 

Che Harun Awang, 65, dari Kampung Teresek, Pasir Mas, berkata setiap kali musim banjir dia akan membawa keluar perahunya dan menawarkan bantuan kepada penduduk yang ingin berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

Menurutnya keinginan untuk membantu penduduk timbul selepas rumahnya sendiri terkesan banjir sejak beberapa tahun lepas dan berhadapan kesukaran untuk berpindah 

“Tahun ini sahaja sudah tiga kali penduduk di kampung saya dan Kampung Serongga terpaksa berpindah ke PPS Sri Kiambang selepas kediaman kami dinaiki air.

“Sebulan lepas ada rumah penduduk dinaiki air hingga paras leher. Keadaan itu amat bahaya dan saya memutuskan untuk memberikan bantuan awal kepada penduduk yang perlu berpindah,” katanya ketika ditemui pemberita, di Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Katanya sejak semalam dia sudah membantu memindahkan empat keluarga dengan mengayuh perahu sejauh dua kilometer di laluan kampung yang dinaiki air sedalam antara 0.5 hingga satu meter.

Che Harun berkata meskipun penat, dia puas kerana dapat membantu penduduk yang memerlukan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Supt Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata lapan kampung di sekitar Pasir Mas masih dinaiki air.

“Antara lokasi terjejas ialah Pengkalan Jeruk, Kubang Pak Itam, Serongga, Gelang Mas dan Banggol Kual. Pemantauan yang dilakukan di kesemua kampung tersebut dengan kawasan paling dalam direkodkan adalah 0.8 meter (m) dan paling cetek 0.2 m.

“Polis menasihatkan kepada semua mangsa banjir supaya segera berpindah sekiranya paras air di kawasan tempat tinggal mereka membahayakan apatah lagi keadaan cuaca sekarang tidak menentu,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here