Kumpulan hak asasi kecam menteri KDN berhubung dakwaan penderaan di depoh imigresen

0
200

KUMPULAN hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung responsnya terhadap dakwaan wujud penderaan di depoh tahanan imigresen, mengatakan ia adalah perkara serius yang memerlukan siasatan secara menyeluruh dengan segera oleh pihak berkuasa.

Pada 9 Disember, Saifuddin berkata bahawa adalah “tidak adil” untuk “memperbesar-besarkan” dakwaan layanan buruk terhadap tahanan di pusat tahanan Kimanis, dan memberikan “laporan berat sebelah.”

“Susut (keadaannya) bukan sebab ditahan tetapi ketika belum masuk lagi. Dia susut bukan disebabkan berada di pusat tahanan,,” katanya.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata cara Saifuddin memberikan respons mengenai perkara tersebut tidak boleh diterima dan bertentangan dengan tadbir urus yang baik di mana beliau dilihat menolak mentah-mentah aduan serius sedemikian, menyifatkan kenyataan Saifuddin itu sebagai “salah satu jawapan paling tidak masuk akal yang pernah dikemukakan oleh seorang menteri dalam negeri ketika berdepan isu penderaan tahanan”.

“LFL kecewa kerana kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang sekian lama menguar-uarkan diri mereka sebagai ‘reformis’, kini mengikut jejak langkah kezaliman pendahulu mereka,” katanya.

“Tuduhan penderaan di pusat tahanan adalah perkara serius yang memerlukan siasatan yang menyeluruh dan segera oleh kerajaan.”

Zaid turut berkata Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan melindungi nyawa dan kebebasan mana-mana individu yang berada di Malaysia – hak yang turut diberikan kepada pendatang tanpa dokumen yang ditahan di depoh imigresen.

“Layanan terhadap pendatang adalah perkara penting yang mesti dipandang serius oleh kerajaan kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua hala dengan negara lain yang akan memberi kesan buruk kepada ekonomi kita, di mana beberapa industri sangat bergantung dengan pekerja asing,” katanya, lapor MalaysiaNow.

“Sudah tentu, negara akan mendapat imej buruk apabila ia dilihat bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana pendatang diperlakukan sebegitu rupa,” tambahnya, memetik langkah Indonesia pada Julai lalu yang memutuskan untuk menangguhkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia kerana pelanggaran perjanjian yang bertujuan untuk menambah baik perlindungan terhadap pekerja domestik.

Zaid juga menggesa siasatan segera dan bebas berhubung dakwaan itu dibuat, dan hasil siasatan perlu dibentangkan kepada awam dan Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here