PH bakal hilang enam, tujuh kerusi DUN di Pulau Pinang

0
204

PAKATAN Harapan (PH) dijangka akan kehilangan enam atau tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang, berikutan gelombang luar biasa Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata corak pengundian kali ini amat berbeza, didorong pelbagai faktor yang mempengaruhi pengundi dalam menentukan pemimpin pilihan mereka.

“Keputusan di peringkat Parlimen pada PRU15, terutamanya di Padang Serai, Rabu lalu, memberi satu gambaran sebenar pemimpin pilihan pengundi. Malah, di beberapa kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), majoriti kita merosot dan kemenangan tidak memihak kepada PH.

“Perkara ini serius dan kita perlu mengkaji kelemahan, seterusnya mengatur strategi baharu untuk menawan hati pengundi,” katanya pada Program Khatan Perdana KADUN Jawi di Dewan Serba Guna Jawi, di sini, hari ini lapor BH Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata keadaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang, namun pengaruh gabungan itu tidak akan menjadi sekuat dahulu.

Berikutan itu, katanya, PH akan bekerja keras mulai bulan bagi menghadapi PRN itu, yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

“Kita perlu `all out’ (bekerja keras) dari segi pengaturan strategi, penganjuran program serta membuat lawatan mendekati masyarakat, di samping berjumpa dengan agensi bagi mencari penyelesaian kepada isu yang kita kumpul ketika kempen PRU lalu,” katanya.

Ketika ini, beliau berkata, jentera PH sedang ‘berehat’, sambil membersihkan kawasan, menyediakan laporan serta menyerahkan semua penyata perbelanjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here