KPDN Pulau Pinang tahan empat lelaki seleweng diesel bersubsidi

0
167

EMPAT lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bersama pelbagai kenderaan berserta bahan api dan tangki diubah suai bernilai RM205,920 dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah stesen minyak di Jalan Perusahaan Perai pada 3.11 petang, Rabu lepas dan menahan sebuah lori lima tan serta kepala lori yang sedang mengisi diesel.

“Pemeriksaan mendapati lori itu mempunyai enam unit tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu di dalam muatannya manakala kepala lori disyaki memiliki tangki telah diubah suai berdasarkan saiz tangkinya.

“Dua lelaki tempatan yang juga pemandu kenderaan berusia 20-an dan 60-an ditahan untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 2,000 liter diesel dalam enam unit tangki plastik itu dan 500 liter diesel dalam tangki besi diubah suai (kepala lori).

“Kami merampas semuanya termasuk kedua-dua kenderaan, motor pam dan set hos pam yang kesemuanya bernilai RM77,125,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam serbuan kedua semalam, dua lelaki tempatan berusia 30-an ditahan ketika sedang mengisi diesel dalam lori serta pacuan empat roda dipercayai untuk diseleweng di sebuah stesen minyak di Jalan Permatang Pauh pada 4.30 petang.

Jegan berkata pemeriksaan ke atas lori 2.5 tan itu mendapati terdapat dua tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu manakala pacuan empat roda jenis Ford Ranger pula mempunyai sebiji tangki besi berkapasiti 1,000 liter telah diubah suai dan ditempatkan di belakang kenderaan tersebut dengan ditutupi kain kanvas.

Beliau berkata pihaknya merampas 800 liter diesel di dalam dua tangki yang terdapat di lori manakala 500 liter diesel dalam tangki pacuan empat roda serta menyita kedua-dua kenderaan, motor pam dan set hos pam yang kesemuanya bernilai RM128,795.

“Berdasarkan siasatan awal, empat lelaki ditahan itu berperanan membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Pulau Pinang sebelum mereka menjual semula kepada pihak lain dengan harga lebih mahal. Siasatan lanjut masih dijalankan dan semua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menyerbu sebuah premis perniagaan di Kampung Kastam, Gelugor dekat Bukit Mertajam pada 12.28 tengah hari semalam dan merampas pelbagai barangan serta pakaian berjenama tiruan bernilai RM4,181.

“Serbuan itu dijalankan selepas pihak KPDN menerima aduan daripada pemilik cap dagang dan pemeriksaan di premis yang menjual pakaian, kasut, tali pinggang, topi dan bag itu disyaki menggunakan cap dagang palsu.

“Kami turut menahan seorang lelaki bekerja di situ untuk siasatan lanjut,” katanya kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here