PAS Kedah syor 5 garis panduan dasar keselamatan makanan

0
179

PAS Kedah mencadangkan lima garis panduan keselamatan makanan sebagai keutamaan kepada kerajaan sebelum menghapuskan monopoli industri padi dan beras negara.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, berkata lima teras utama cadangan itu termasuk mengupayakan dasar agromakanan negara, menyokong usaha kerajaan Kedah dalam usaha penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun, memerangi kartel padi, mencontohi model asas Smart Sawah dan meremajakan industri padi dan beras negara.

“Isu menghapuskan monopoli dalam industri ini dan keselamatan makanan negara memerlukan penelitian yang lebih lanjut dan tidak sekadar semberono,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad menjelaskan, kerajaan pusat perlu justifikasi dan mengenal pasti langkah susulan yang kukuh sebelum menghapuskan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam industri padi dan beras negara.

Beliau berkata kerajaan perlu mengenal pasti sama ada cadangan menghapuskan monopoli itu akan membuka ruang kepada syarikat swasta lain untuk mengawal monopoli berkenaan.

“Ini kerana monopoli itu berkait dengan pengimportan beras ke dalam negara. Bagaimana kesan dan impak kepada pengusaha beras tempatan yang terpaksa bersaing disebabkan harga beras import yang lebih murah?

“Apakah ada ‘safety net’ terhadap perkara tersebut? Bagaimana kerajaan akan mengawal import beras sedangkan langkah sedia ada dilakukan bagi mengawal selia jumlah beras yang diimport memenuhi keperluan dan permintaan?” katanya.

Ahmad berkata, pengistilahan “monopoli” kepada BERNAS sebenarnya diikat dengan obligasi sosial yang ketat, bahkan kerajaan mengawal sepenuhnya bidang kuasa BERNAS ketika ini melalui ‘golden share’.

“Ia berkait dengan pengawalseliaan terhadap stok penimbal yang disasarkan kepada 290 ribu tan metrik kelak. Obligasi ini mengikat peranan monopoli import BERNAS termasuk dalam klausa pembaharuan konsesi bagi 10 tahun akan datang sehingga 2031.

“Persoalannya, adakah syarikat swasta yang lain turut diikat dengan obligasi yang sama seperti yang ditanggung BERNAS?” katanya lapor BH Online.

Lima garis panduan yang dicadangkan PAS Kedah adalah pertama, kerajaan perlu mengupayakan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) yang menumpukan kepada peningkatan produktiviti serta mobiliti sosial para pesawah.

Kedua, menyokong usaha kerajaan Kedah dengan dasar penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan penghasilan padi seterusnya menyokong sasaran tahap sara diri melebihi 80 peratus menjelang 2030 seperti yang digariskan DAN 2.0.

Ketiga, memerangi kartel padi secara sistematik, telus dan berstrategik serta mengawal rantaian pengeluaran padi dengan lebih efektif.

Cadangan keempat adalah supaya kerajaan mencontohi model asas perlaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Asnaf

yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Strategi Smart SBBA ini bukan sahaja berjaya memastikan peningkatan terhadap penghasilan padi bagi sehektar, bahkan juga berjaya memastikan mobiliti sosial para pesawah keluar daripada zon kemiskinan.

Dan yang terakhir, kerajaan perlu memberikan tumpuan yang serius bagi meremajakan industri padi dan beras negara serta tumpuan terhadap penerimagunaan teknologi.

Ahmad berkata, PAS Kedah berpandangan isu keselamatan makanan wajar ditangani secara komprehensif dan langkah yang diatur Kerajaan Persekutuan ketika ini lebih didorong oleh tindakan populis yang tiada justifikasi kukuh terhadapnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here