MetMalaysia keluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya

0
183

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tiga tahap di kawasan berbeza hari ini yang berkuat kuasa sehingga esok, 10 Disember 2022.

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan, Met Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap bahaya melibatkan kawasan-kawasan di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) dan negeri Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang).

Dalam pada itu, amaran hujan berterusan pada tahap buruk melibatkan kawasan-kawasan di negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Terengganu (Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Jerantut dan Kuantan).

Manakala amaran hujan berterusan pada tahap waspada melibatkan kawasan-kawasan di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin).

Dalam masa sama, tinjauan jangka panjang untuk bulan Januari tahun hadapan, Met Malaysia meramalkan kebanyakan negeri di Semenanjung akan menerima taburan hujan pada paras purata iaitu 50 milimeter (mm) sehingga 500 mm kecuali Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang dijangka menerima hujan sedikit bawah daripada purata itu.

Sementara itu, kawasan-kawasan di Sarawak pada bulan hadapan dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata kira-kira 200 mm sehingga 550 mm kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong yang dijangka menerima sedikit bawah daripada purata tersebut.

Negeri Sabah pula dijangka menerima hujan pada paras purata 100 mm sehingga 200 mm kecuali di Kudat dan Sandakan yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu 450 mm sehingga 650 mm.

Manakala Wilayah Persekutuan Labuan dijangka menerima taburan hujan sekitar 150 mm sehingga 300 mm pada bulan hadapan.

MetMalaysia juga menjangkakan fenomena La Nina yang sedang berlaku berterusan sehingga Februari 2023 dengan kebarangkalian 76 peratus.

Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada 7 November 2022 turut dijangka berterusan sehingga bulan Mac tahun hadapan dan negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 sehingga 20 kilometer per jam yang boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here