PN mampu menang besar jika PRN diadakan dalam masa terdekat

0
1390

PERIKATAN Nasional (PN) mampu menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) jika diadakan dalam tempoh terdekat berdasarkan momentum sokongan pengundi yang jelas memihak kepada gabungan itu.

Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ini ditambah dengan faktor Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang masih belum mempunyai naratif sesuai meyakinkan kembali pengundi untuk memberi sokongan kepada gabungan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menambah, PN mempunyai cabaran besar untuk mencari justifikasi bagi mewajarkan PRN diadakan dalam masa terdekat.

“Momentum sudah ada, kalau PN mahu menang solid di Kedah, dan mengekalkan kerajaan di Kelantan dan Tengganu sehingga kita kata hampir tiada pembangkang, sekarang adalah masa yang terbaik,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Mujibu berkata, PN mempunyai peluang untuk menang dengan mudah jika PRN diadakan dalam masa yang terdekat lebih-lebih lagi apabila ‘Tsunami Hijau’ sedang kuat melanda negara ketika ini.

“Di kala BN dan PH juga masih belum mempunyai naratif yang sesuai untuk meneutralkan perkara itu. Ini masa sesuai,” katanya.

Beliau menambah, keputusan pilihan raya Padang Serai pada Rabu yang menyaksikan PN merampas kerusi PH dengan majoriti besar sebanyak 16,260 undi, isyarat jelas momentum berpihak kepada PN.

Mengulas mengenai bilakah masa yang sesuai untuk diadakan PRN, beliau berkata banyak faktor perlu diambil kira.

“Jika mengikut pertimbangan politik waktu yang sesuai semestinya lebih awal kerana Kedah, Kelantan dan Terengganu sudah ada momentum yang baik.

“Bagaimanapun susah kerana, Januari rakyat sibuk menguruskan persekolahan anak-anak, Februari sambutan Tahun Baharu Cina, Mac pula sudah memasuki bulan Ramadan,” katanya.

PRU-15 baru-baru ini menyaksikan PN memperoleh 74 kerusi Parlimen, sementara Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, BN (30) diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua). –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here