Keputusan di Padang Serai tunjuk rakyat meluat – Sanusi

KEPUTUSAN pilihan raya Parlimen Padang Serai yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti besar memberi isyarat bahawa rakyat sebenarnya meluat dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seperti dilaporkan BH Online.

Menurut Muhammad Sanusi, kemenangan PN itu adalah manifestasi situasi politik yang tidak mampu menghalang kehendak serta kemahuan rakyat.

Beliau berkata, sekiranya hanya menang dengan majoriti kecil, itu bermakna rakyat tolak, tetapi majoriti lebih besar memberi petunjuk rakyat meluat.

“Kalau menang dengan majoriti 1,000 atau 2,000 itu bermakna rakyat tolak tapi kalau majoriti sampai berbelas ribu itu rakyat meluat.

“Itulah signifikan keputusan Padang Serai kepada suasana politik hari ini dan ini (adalah) di sebalik BN sokong Pakatan Harapan. Kalau gabung dua-dua itu (BN dan PH) pun tak mampu menghalang kehendak dan kemahuan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyifatkan kemenangan itu memberi pilihan sama ada untuk mempercepat atau melambatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

“Kemungkinan akan cepat atau akan lambat. Saya dah sebut dulu PRN akan berlaku pada bulan Mac dan ke atas, bulan terakhir dia akan gugur sendiri pada bulan Julai . Dalam tempoh 60 hari kita kena buat pilihan raya jadi masa dia antara bulan Mac hingga Julai. Itu sajalah,” katanya.

Ketika ditanya resepi kejayaan Kedah berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, Muhammad Sanusi, berkata politik harmoni di Kedah adalah resepi utama kejayaaan gabungan itu yang membuatkan rakyat selesa dengan PN.

“Kita tak berlakon, kita jadi diri kita dan tak jadi orang lain, saya rasa itulah yang orang nak. Kita tak buang masa main politik…banyak.

“Kita pun tak ambil tindakan balas dendam kat orang, kita tak cari salah orang. Kita teruskan projek yang baik dan ada hubungan baik dengan pegawai, agensi dan jabatan bagi kerjasama yang baik,” katanya.

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi pada proses pengundian dilakukan semalam.

Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).

Selain itu, calon Pejuang, Hamzah Abd Rahman mendapat 424 undi, manakala calon Bebas, Sreanandha Rao (846 undi) dan Mohd Bakhri Hashim yang mewakili Warisan (149 undi).