Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis tahan 46 ejen bookie judi Piala Dunia Qatar -

Polis tahan 46 ejen bookie judi Piala Dunia Qatar

POLIS menahan 46 lelaki dipercayai ejen bookie perjudian bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 dengan nilai had kredit taruhan mencecah RM6.317 juta menerusi Op Soga IX di seluruh Johor setakat semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua lelaki berusia antara 18 hingga 72 tahun itu ditahan dalam 45 serbuan yang dilakukan sejak 21 Nov lepas.

“Polis turut merampas wang tunai RM34,303, dolar Singapura SGD$500, 48 telefon bimbit berserta kad sim dan sebuah buku catatan pertaruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejayaan operasi itu adalah berdasarkan hasil risikan serta maklumat yang disalurkan daripada orang awam.

Katanya kesemua lelaki berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 6 (3), Seksyen 6 (1) dan Seksyen 4 (1) (d) Akta Pertaruhan 1953.

Kamarul Zaman berkata fokus utama Op Soga IX adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan pertaruhan sempena kejohanan Piala Dunia bagi memberkas individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ selain menyerbu tempat yang dijadikan lokasi perjudian.

Beliau menyeru semua pihak supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan perjudian ke balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677.

— BERNAMA