Kerajaan teliti undang-undang pastikan penyedia platform media sosial lebih responsif

0
258


KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital telah memulakan proses meneliti undang-undang sedia ada untuk memastikan penyedia platform media sosial bukan sahaja patuh pada undang-undang tetapi bersifat lebih responsif dengan pihak berkuasa, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.

Katanya, langkah tersebut bukan sahaja memastikan kerjasama lebih erat dengan penyedia platform media sosial tetapi juga undang-undang lebih tegas dalam usaha mengurangkan jumlah bahan bersifat provokatif terutama 3R iaitu Institusi Diraja ((Royalty), Perkauman (Race) dan Agama (Religion).

Beliau berkata dapatan daripada platform media sosial TikTok menunjukkan sebanyak 2,113 video yang berunsur provokatif serta ekstremis dipadam secara automatik sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dari 12 hingga 26 Nov lepas.

“Daripada jumlah itu, 857 video dipadamkan pada pra hari mengundi pada 12 hingga 18 Nov, sebanyak 130 rakaman dikekang ketika hari pengundian pada 19 Nov dan sebanyak 1,126 video pada pasca iaitu 20 hingga 26 Nov.

“Kekangan secara automatik itu adalah bersandarkan kepada sistem artificial intelligence (kecerdasan buatan) yang dimiliki TikTok,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah memberikan sebanyak 202 aduan kepada TikTok untuk menurunkan video dari 1 Jan hingga 5 Dis lepas dan daripada jumlah tersebut sejumlah 95 telah diturunkan kerana melanggar garis panduan komuniti, 28 video kerana melanggar undang-undang negara dan 79 video tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Beliau berkata TikTok juga menghalang lebih 1,000 sebaran video yang didapati bersifat provokatif dan ekstrem sepanjang PRU15 selepas menerima aduan MCMC serta beberapa badan dan agensi lain.

Selain itu, Fahmi berkata pasukan khas yang ditubuhkan bagi menangani berita palsu pada 1 Dis lepas akan memberi penekanan kepada aspek komunikasi terutama pengurusan menangani berita palsu.

Beliau berkata pasukan itu juga akan memantau hantaran berita palsu yang dilihat mempunyai kesan negatif kepada ekonomi, sosio budaya, agama dan keselamatan selain menjejaskan ketenteraman awam.

“Hasil pemerhatian, tempoh antara Perdana Menteri mengangkat sumpah hingga terbentuk Kabinet itu adalah waktu paling kritikal, banyak sebaran berita palsu ketika itu. Dengan adanya Task Force ini akan membantu untuk mengekang penyebaran berita palsu dengan lebih proaktif,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here