Dakwaan seleweng RM600 bilion: Perbincangan Saifuddin-KPN satu tindakan mahu campur tangan

0
196

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mesti menghentikan sebarang campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan wujud penyelewengan ke atas dana RM600 bilion.

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Shah Alam, Dr Afif Bahardin, berkata kenyataan Saifuddin bahawa beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung dakwaan itu seolah-olah memperlihatkan tindakan mahu campur tangan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan politik yang jelas oleh menteri, dalam mengarahkan polis tentang cara menjalankan tugasnya. Ini dendam politik dalam bentuk yang paling jelek dan tidak sepatutnya berlaku di mana-mana negara.

“Pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang mendakwa memperjuangkan reformasi demokrasi, tadbir urus baik dan kebebasan institusi, kini secara terbuka mengakui membincangkan perkara penyiasatan membabitkan lawan politik mereka dengan polis, satu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sungguhpun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyidin Yassin, mengalu-alukan sebarang penyiasatan ke atas pakej bantuan berjumlah RM530 bilion ketika pandemik COVID-19 lalu, Saifuddin tidak perlu membincangkan secara spesifik sebarang siasatan dengan Ketua Polis Negara.

“Itu adalah bidang kuasa polis, dan tidak boleh ada campur tangan politik atau menteri. Sungguh mengerikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipanggil Perdana Menteri reformis, pada minggu pertamanya memegang jawatan, membuat tuduhan sedemikian tanpa sebarang bukti untuk menyokongnya.

“Lebih memalukan apabila Menteri Dalam Negerinya, pada hari kedua memegang jawatan, (seolah-olah) merancang untuk terbabit dalam menjalankan siasatan,” katanya memetik BH Online.

Katanya, tanggungjawab Menteri Dalam Negeri adalah untuk memberi arahan dasar yang sesuai kepada badan penyiasat dan menjamin keselamatan negara, bukan untuk campur tangan dalam mana-mana siasatan.

“Perdana Menteri membuat tuduhan setiap hari terhadap Pengerusi PN, lawan politiknya dan Menteri Dalam Negeri membincangkan siasatan atas tuduhan yang sama dengan Ketua Polis Negara. Pendek kata, PH tuduh dan kemudian PH siasat tuduhan sendiri.

“Walaupun ini mungkin biasa di negara-negara seperti Korea Utara, ia adalah menjijikkan di Malaysia yang sepatutnya menjadi negara demokrasi,” katanya.

Saifuddin pada sidang media semalam berkata akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Acryl berkenaan isu dana RM600 bilion didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Saifuddin berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada Ketua Polis Negara itu mengenai isu dibangkitkan Anwar dalam sidang medianya semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here