Muhyiddin sumpah tak langsung ambil satu sen dari RM600 billion

0
162

Oleh RIZQI ZABIDI

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi melafazkan sumpah bahawa beliau langsung tidak mengambil walau satu sen pun daripada wang berjumlah RM600 bilion yang didakwa sesetengah pihak telah dibelanjakan serta diseleweng ketika erat pentadbirannya sebelum ini.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, perkara itu juga tidak seharusnya menjadi polemik kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertanyakan saja mengenai perkara itu kepada bekas Menteri Kewangan, Tengku Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kini kembali dilantik ke dalam Kabinet sebagai Menteri Antarabangsa.

Selain itu katanya, Anwar selaku Menteri Kewangan juga tidak seharusnya berdepan masalah untuk mendapatkan taklimat daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Wallahi, Wabilahi, Watallahi satu sen pun wang itu saya tak ambil. Itu bukan duit saya tetapi duit rakyat jelata.

“Waktu saya jadi Perdana Menteri, kita belanja RM530 billion untuk bantu rakyat yang berdepan masalah Covid-19 dan ekonomi. Kita belanja untuk bantu rakyat susah dan semua dibuat ikut peraturan.

“Yang menguruskan ini ialah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul. Anwar boleh panggil Tengku Zafrul pergi ke pejabat dan tanya 600 billion ini Muhyiddin ‘tapau’ semuakah? Kalau saya ‘tapau’, saya boleh hadap di mahkamah pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Grand Finale PN di Taman Selasih, dekat Kulim yang terletak dalam Parlimen Padang Serai, malam tadi.

Terdahulu dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet pertama semalam, Anwar menafikan mengeluarkan arahan supaya menyiasat lanjut dakwaan perbelanjaan RM600 bilion itu.

Begitu pun kata Anwar, setakat diketahuinya dan diberi maklumat oleh pegawai, terdapat pelanggaran agak serius kerana ia melibatkan perolehan yang terlalu banyak.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata, beliau merasa pelik bagaimana Anwar boleh membuat kenyataan sedemikian.

“Beliau boleh panggil Ketua Perbendaharaan dan dapatkan taklimat penuh. Kalau nak taklimat, saya fikir satu hari pun tak cukup nak meneliti satu per satu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here