Anwar jawat Menteri Kewangan langkah keterbelakang – Radzi

0
189

TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan adalah satu tindakan yang amat terkebelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin berkata, langkah itu menunjukkan tidak ada peranan semak dan imbang dalam kerajaan.

Malah kata beliau, ia juga dilihat tidak selari dengan manifesto termasuk slogan reformasi seperti diperjuangkan PKR yang dinaungi Anwar sebagai presidennya.

“Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan, maka tiada lagi fungsi semak dan imbang.

“Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib (Razak). Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.

“Bahkan ketiga-tiga Perdana Menteri ini tidak memegang sebarang portfolio menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan berkata, Timbalan Presiden PKR juga pernah menulis di Facebook bahawa beliau telah memfailkan satu rang undang-undang (RUU) persendirian untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

Selain itu kata beliau, di bawah janji 12 dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan.

Malah terdapat kenyataan yang pernah dibuat seorang anggota Majlis Presiden PH iaitu Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam satu ceramah, apabila tidak bersetuju Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Pemimpin PH sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan. Rakyat Malaysia yang memahami tentang tadbir urus negara pun tentunya tidak bersetuju.

“Apa yang saya lihat pada masa ini, Perdana Menteri banyak bercakap tentang perkara yang telalu kosmetik untuk menyedapkan telinga rakyat.

“Sebaliknya perkara prinsip dalam struktur pentadbiran yang telah elok dibentuk sebelum ini bila mana Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, diketepikan.

“Di mana reformasi yang sentiasa dilaungkan? Adakah reformasi hanya slogan bila jadi pembangkang?” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here