Salah minta polis bertindak terhadap pengkritik Anwar, kata LFL

0
198

BADAN hak asasi manusia mengkritik arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada polis supaya bertindak terhadap dakwaan dilemparkan terhadapnya.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek, berkata sepatutnya polis tidak digunakan sebagai bentuk pembelaan untuk mempertahankan reputasi perdana menteri.

“Ia boleh menjadi salah guna kuasa untuk mengarahkan polis menyiasat individu yang membuat dakwaan terhadapnya.

“Tugas polis adalah untuk mengekang jenayah, bukan menjadi pelindung kepada perdana menteri daripada penghinaan mahupun kritikan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, campur tangan polis hanya boleh dijustifikasikan apabila pesalah membuat kenyataan menghasut, keganasan atau mengganggu gugat orang awam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang mendedahkan bahawa Anwar sudah mengarahkan polis bertindak kepada sesiapa sahaja yang menyebarkan kenyataan fitnah terhadapnya seperti dakwaan menjadi “ejen Israel”.

Ahli Parlimen Baling Hassan Saad disiasat polis kerana mendakwa Anwar menjadi “ejen Israel”.

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memfitnah, sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Zaid ketika mengulas lanjut berkata, siasatan itu bercanggah dengan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya untuk memansuhkan Seksyen 233 dan menggesa ia dihentikan.

Katanya, Anwar sepatutnya memfailkan saman fitnah di mahkamah sivil sekiranya terkesan dengan dakwaan sedemikian.

“Sekiranya polis memulakan siasatan jenayah terhadap setiap tuduhan ataupun penghinaan kepada perdana menteri, ia seperti seakan terjerumus dalam jurang autoritarianisme,” katanya lapor FMT.

Semalam, menurut New Straits Times, Anwar memberi tempoh tiga hari kepada Hassan memperjelaskan dakwaan dalam satu rakaman audio bahawa Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu membuat kenyataan mengenai “pengaruh Israel” dalam pelantikan beliau sebagai perdana menteri.

Dalam satu rakaman audio, seorang wanita mendakwa Ahli Parlimen Baling itu memberitahunya bahawa PAS telah memperoleh cukup undian untuk membentuk kerajaan, tetapi Anwar telah “berhubung dengan Israel” dan kuasa luar supaya campur tangan dalam pelantikannya.

Menurut surat tuntutan dikeluarkan kepada Hassan oleh Tetuan S N Nair and Partners, semalam, Anwar dilaporkan berkata, Ahli Parlimen itu mempunyai masa tiga hari untuk memberikan pengesahan secara umum dan bertulis bahawa beliau tidak terlibat dalam perkara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here