Pengundi Padang Serai akan beri isyarat jelas kepada PH, BN – Calon PN

0
295

PENGUNDI Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai khususnya penyokong UMNO akan memberi isyarat jelas menolak pemimpin yang tidak menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu, 7 Disember ini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin berkata, penolakan itu disebabkan penyokong dan akar umbi UMNO tertipu dengan pucuk pimpinan parti itu yang pada awalnya menegaskan tiada kerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN itu juga diibaratkan seperti ‘kerajaan penzinaan’ kerana ‘perkahwinan’ yang tidak direstui ahli serta pemimpin di peringkat bawahan.

“Saya yakin orang Melayu yang dikhianati dan ditipu akan beri isyarat jelas kepada PH, Anwar dan (Datuk Seri Dr.) Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka menolak pemimpin yang tak tunai janji, tak cakap benar dan tipu pengundi masa kempen.

“Mengapa saya cakap ‘kerajaan penzinaan’ kerana perkahwinan itu tidak direstui penyokong dan pemimpin UMNO bawahan kerana melanggar resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

“Apabila Ahmad Zahid terbukti sokong Anwar sebagai Perdana Menteri walhal disebut No Anwar No DAP tapi akhirnya terpaksa sokong mungkin dengan syarat bebaskan beliau daripada kes dihadapi, maka ianya tak direstui pemimpin dan ahli UMNO di bawah,” katanya.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas dan bekas pimpinan PKR berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Pekan Merbau Pulas, Padang Serai di Kulim.

Menurutnya, situasi itu turut memberi kelebihan kepada PN di Padang Serai kerana momentum pengundi Kedah masih tinggi menolak 100 peratus BN dan PH yang hanya menang satu kerusi.

“Terbukti di Kedah BN tiada kerusi Parlimen, PH hanya menang majoriti 1,115 undi di Sungai Petani dan Padang Serai akan membuktikan PN boleh menang dengan majoriti tinggi.

“Kita akan kerja keras keluar seramai mungkin pengundi agar capai sekurang-kurangnya 80 peratus bagi membolehkan kita beri mesej kepada kerajaan bahawa orang Melayu dah buat perubahan,” katanya, lapor Wartarakyat.

Sementara itu, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah tidak akan mempertahankan DUN Lunas sekiranya menang di Padang Serai.

Beliau berkata, ianya bagi membolehkan tumpuan sepenuhnya diberikan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu yang memerlukan komitmen lebih tinggi berbanding ADUN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here