PN tolak sertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana rasis – Wan Saiful

0
178

PERIKATAN Nasional (PN) menafikan dakwaan bahawa gabungan politik itu bersifat perkauman apabila menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dalam Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata penolakan kerjasama dengan DAP oleh PN adalah disebabkan ideologi haluan kiri yang dibawa parti itu.

“Kami (PN) tidak menolak DAP kerana sentimen perkauman atau agama. Kami menentang DAP kerana strategi parti itu untuk menafikan hak sesiapa yang berbeza pendapat.

Jika DAP mendesak orang lain untuk berhenti bercakap tentang perkauman, mereka harus berhenti mendakwa bahawa sesiapa yang tak setuju dengan dia (DAP) semuanya atas dasar perkauman,” katanya ketika menyertai kempen calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin di Taman Mahsuri di sini, hari ini.

PN sebelum ini memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan meskipun diajak untuk bekerjasama oleh Anwar selaku Perdana menteri, sebaliknya memilih untuk menjadi pembangkang.

Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa DAP sedang menyebarkan agenda berhaluan kiri yang tidak pernah dinafikan parti itu.

“Negara kita dibina atas falsafah sayap kanan dan kita menentang apa sahaja yang diperjuangkan oleh DAP bukan kerana mereka Cina atau India, malah orang Melayu yang berada dalam DAP juga salah kerana parti itu mempunyai ideologi yang salah.

“Ini yang kita cuba jelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan propaganda DAP bahawa sesiapa yang menentang mereka adalah rasis,” katanya.

Mengulas pilihan dibuat PN untuk kekal sebagai pembangkang, beliau berkata pihaknya tidak boleh boleh membenarkan kerajaan didominasi PH khususnya DAP untuk mentadbir negara tanpa semak dan imbang sewajarnya.

“Kita beranggapan bahawa kerajaan (Persekutuan) ini bukan Kerajaan Perpaduan, tetapi kerajaan PH,” katanya lapor BH Online.

Selain Azman, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut disertai calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj; Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here