Lelaki diberkas enam jam selepas meragut

0
40

POLIS berjaya memberkas seorang lelaki yang meragut telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Jalan SS1/22, di Petaling Jaya Sabtu lalu.

Suspek samun diberkas tanpa senjata api selepas hanya enam jam lelaki itu meragut telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Jalan SS1/22, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 11 pagi semasa mangsa duduk menunggu di stesen minyak berkenaan sementara isterinya pergi mengundi.

“Tiba-tiba datang sebuah motosikal nombor pendaftaran dan warna tidak pasti yang dinaiki seorang lelaki memakai baju berwarna kuning telah meragut telefon bimbit jenis Huawei Mate 20 milik mangsa.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah pergi ke balai untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, lapor Sinar Harian.

Mohamad Fakhruddin berkata, bertindak atas maklumat, mangsa bersama sepasukan polis dari Balai Sungai Way berjaya menahan suspek dalam satu serbuan di Jalan PJS 5/30, Petaling Jaya pada jam 5.40 petang, Sabtu.

“Sampai di lokasi, mangsa dan pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki tempatan serta merampas barang kes yang disiasat.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku telah terlibat dalam kes yang diadu. Dipandu arah oleh suspek berkenaan, pasukan serbuan telah pergi ke sebuah rumah di sekitar Sungai Way,” katanya.

Selain itu, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, pihak polis menemui pakaian yang digunakan suspek semasa meragut telefon bimbit mangsa dan turut merampas empat buah telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan samun.

Katanya, semakan rekod mendapati, suspek berkenaan mempunyai 22 rekod jenayah lampau dan satu berkaitan dadah.

“Kejayaan tangkapan ini telah menyelesaikan tiga kes samun tanpa senjata api dalam daerah Petaling Jaya.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata api),” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here