Zahid Hamidi tiada lagi autoriti moral buat keputusan – Khairy

0
181

PERUNDINGAN pembentukan kerajaan baharu membabitkan Barisan Nasional (BN) tidak boleh melibatkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata ini kerana Ahmad Zahid tidak lagi mempunyai keabsahan moral selaku Presiden UMNO dan mesti diundurkan segera.

“Perundingan pembentukan kerajaan baharu tidak boleh melibatkan Dr. Zahid Hamidi. Beliau tiada lagi keabsahan moral selaku presiden UMNO dan mesti undur segera.

“Beliau mungkin masih lagi presiden pada nama, tetapi dia tiada lagi autoriti moral untuk membuat keputusan bagi pihak UMNO,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam satu ciapan di akaun Twitter rasmi beliau pada Selasa.

Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15, Sabtu lalu.

PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here