PRU-15: Wan Saiful yakin tawan Tasek Gelugor

0
481

HASIL kajian yang dilaksanakan selain kerja keras yang dijalankan bersama jentera parti, calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan yakin mampu mencipta kemenangan di kerusi Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Wan Saiful bagaimanapun berkata, perkara itu tidak bererti beliau perlu berhenti daripada bekerja keras malah akan terus bekerja sehingga tamat tempoh berkempen pada tengah malam Jumaat.

Kata Wan Saiful lagi, beliau yakin akan mampu mengekalkan kerusi di Tasek Gelugor yang sebelum ini disandang Datuk Shabudin Yahaya dari Bersatu.

“Hasil kajian yang dijalankan oleh jentera parti sejak tiga minggu lepas menunjukkan kita mampu untuk kekal menang di kerusi Tasek Gelugor.

“Berdasarkan hasil kajian yang kami jalankan menunjukkan peningkatan peratusan positif dalam kalangan pengundi terhadap PN berbanding parti-parti lain yang bertanding di sini,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan PN Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada Rabu, lapor SinarHarian.

Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan pertarungan lima penjuru antara Wan Saiful (Bersatu) dengan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN), Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH), Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (Pejuang).

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu berharap, maklum balas positif yang ditunjukkan pengundi terhadapnya akan diterjemahkan ke kertas undi pada Sabtu ini.

“Buat waktu ini, saya tidak boleh berkongsi dengan lebih terperinci mengenai peratusan kajian. Ini kerana, ia melibatkan strategi parti.

“Bagaimanapun, hasil kajian itu satu perkembangan baik yang mana, sokongan pengundi terhadap PN adalah kerana mereka mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

“Saya harap, kajian itu akan diterjemahkan ke kertas undi pada hari pengundian nanti,” katanya.

Wan Saiful berkata, beliau yakin pengundi di Tasek Gelugor tidak akan terpengaruh dengan taktik kotor pihak lawan yang menggunakan serangan peribadi dalam siri kempen mereka.

“Saya yakin dan tahu pengundi faham dengan agenda dan propaganda yang dibuat parti lawan terhadap PN demi kepentingan peribadi berbanding membela nasib rakyat.

“Mereka (parti lawan) juga sering menggunakan strategi lama atau ‘politik tua’ untuk menyerang secara peribadi terhadap saya dalam beberapa hal yang tidak berasas. Bagaimanapun saya percaya, pengundi tahu yang mana benar dan yang mana hanya tuduhan semata-mata,” katanya.

Pada PRU-14 lalu, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN (UMNO), Shabudin dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH (Bersatu) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).

Bagaimanapun, Shabudin mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersatu pada Disember 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here