Deklarasi ‘profesor’ sokong Anwar jadi PM terus dipertikai

0
391

KEABSAHAN deklarasi kumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri terus dipertikaikan.

Pada Rabu masing-masing seorang ahli akademik dan bekas ahli akademik mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan kumpulan itu mengaitkan nama mereka dalam deklarasi berkenaan.

Prof Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi dalam kenyataan  di Facebooknya, menafikan terlibat dengan Deklarasi Profesor Melayu G70 serta tidak tahu-menahu namanya dimasukkan dalam deklarasi tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut menafikan menyokong mana-mana pemimpin parti politik atau memihak kepada mana-mana parti.

Bagaimanapun, katanya, beliau secara prinsip menyokong ke arah kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan umum.

“Sewaktu deklarasi dilaksanakan, saya tidak berada bersama dan tidak sama sekali terlibat dengan deklarasi tersebut.

“Tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyokong mana-mana pemimpin parti politik atau memihak kepada mana-mana parti politik.

“Tidak tahu-menahu bahawa nama saya telah dimasukkan dalam senarai Deklarasi Profesor Melayu G70. Saya juga telah meminta nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut,” katanya.

Bekas ahli akademik, Ishak Yussof pula memberitahu beliau tidak dimaklumkan tentang menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Saya difahamkan kumpulan ini bertujuan membuat deklarasi dukungan terhadap PRU15 yang telus dalam memilih pemimpin terbaik utk Malaysia. Ini saya setuju!

“Tidak pula saya dimaklumkan tentang menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dengan ini saya menarik diri dari Kumpulan G70 ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Bekas Pro Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sebagai mantan ahli akademik tulen, beliau mengambil pendirian non partisan di dalam politik dan tidak pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri atau sokongan pada mana-mana parti.

“Sebagai mantan Timbalan Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN), saya senada dengan MPN menghormati hak individu bercakap dan bersuara.

“Pun begitu, bukanlah hasrat saya untuk menggunakan kedudukan sebagai ahli akademik cuba mempengaruhi mana-mana pihak untuk memilih pemimpin atau parti di dalam piliharaya negara yang tercinta ini. Memilihlah secara bijaksana.

“Saya telah pun bersara dua tahun lepas dan tidak lagi wajar menggunakan gelaran Profesor,” katanya.

Pada Rabu, satu Deklarasi Profesor Melayu G70 yang menyenaraikan enam resolusi menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mengundi pada PRU-15, 19 November ini.

Antara lain, deklarasi itu turut menyatakan bahawa menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Deklarasi tersebut turut menyenaraikan kira-kira 70 orang ahli akademik bergelar
profesor yang didakwa menyokong resolusi berkenaan.

Perkara itu kemudian mendapat perhatian pendakwah bebas dan ahli akademik, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempersoalkan tentang gelaran profesor yang diguna individu dalam deklarasi terbabit.

Menurut Ridhuan, kumpulan tersebut bukan sahaja didakwa sebagai menipu berhubung gelaran profesor malah dianggap sangat terdesak semata-mata untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here