MENJELANG hari pembuangan undi Sabtu ini, suasana kempen Pilihan Raya Umum ke-15 terus masuk ke gear lima dengan masing-masing pimpinan parti berusaha turun ke semua kawasan bagi memastikan mesej mereka sampai ke segenap pelosok negara.
Bagi Perikatan Nasional (PN) sendiri, gelombang sokongan itu nampaknya semakin membadai bukan saja di lapangan malah kian rancak di media sosial.
Perkara itu diakui sendiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun ke hampir seluruh negeri untuk berkempen.
“Saya menyaksikan sendiri di lapangan di mana saya pergi dari utara, Perlis sampai ke Selatan, semalam di Johor, gelombang itu jelas dan nyata. Sokongan luar biasa terutama dalam kalangan pengundi Melayu. Nampak sangat mereka ini sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya, 19 November ini.
“Kita boleh nampak mereka berminat untuk menyokong PN. Mungkin atas sebab mereka melihat kepimpinan waktu mengurus masalah pandemik Covid-19, bantuan-bantuan yang kita telah sediakan, rekod-rekod itu (jadi panduan) kemudian tawaran dalam manifesto yang terbaharu,” katanya ketika sesi Sinar Live : Cukup-cukuplah fitnah PN, hari ini.
Dalam pada itu, Presiden Bersatu itu juga akui keberkesanan jentera PN yang dinaungi tiga parti itu melancarkan lagi kempen gabungan itu.
Kita bertindak atas satu bumbung PN, ada PAS, Bersatu dan Gerakan. Walau yang bertanding itu PAS tapi Bersatu dan Gerakan akan menyokong. Ini kesepakatan dan kesepaduan tindakan yang kita lakukan.
“Kita masuk ke seluruh pelosok negara menjelaskan apa perjuangan kita dan kenapa perlu membantu dan menyokong kita supaya kita dapat menerajui negara untuk tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.
Menyentuh soal sentimen anak muda yang dikatakan mahu peluang diberikan kepada muka baharu untuk menerajui negara, Muhyiddin berkata soal memilih pemimpin bukan perkara main-main yang boleh dicuba-cuba.
“Soal pilihan raya ini bukan boleh main-main. Bukan boleh ‘kita cuba, tengok macam mana’. Pihak yang bertanding sekarang ini bukan yang tidak pernah memimpin negara, semuanya dah ada. Baik parti BN yang lama, PH sebelum ini pun dan PN untuk tempoh 17 bulan yang saya pimpin.
“Kalau mereka tidak tunjuk hala tuju yang agak tepat walaupun mereka ada hak untuk memilih dan hanya pangkah sebab emosi dan sebagainya malah tidak mengetahui latar belakang profil politik, demografi dan sebagainya mungkin kesan tidak begitu baik kepada negara sebab mereka (pengundi muda) juga menjadi penentu. Kalau tak silap saya lebih kurang 1.6 juta pemilih muda yang 18 tahun ke atas,” katanya.
Tambahnya, PN telah membuktikan mampu mentadbir negara dengan baik malah ketika negara sedang berada dalam waktu yang paling sukar.
“Saya telah buktikan dan saya fikir pimpinan PN yang lain telah buktikan dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, paling susah, pandemik Covid-19, kematian, jangkitan, orang susah tak dapat kerja, tak boleh meniaga dan macam-macam lagi.
“Apa bantuan-bantuan yang telah kita berikan? Itu bukti dan petanda kita ada upaya. Kita boleh buat. Saya berikan perhatian dalam manifesto pun kita tawarkan untuk anak muda pekerjaan, bantuan masuk ke institusi pengajian tinggi, rumah mampu milik dan sebagainya. Ini yang kami fikirkan antara perkara utama yang menjadi keperluan anak-anak muda.
“Penting untuk anak muda buat keputusan yang tepat, saya harap mereka akan tertarik untuk memberikan sokongan kepada PN,” katanya.