Mangsa banjir di Kelantan,Johor,Perak meningkat,jumlah terkini 2,633 mangsa

0
199

JUMLAH mangsa banjir di Kelantan, Johor dan Perak merekodkan peningkatan pagi ini, Selangor dan Pulau Pinang pula menunjukkan penurunan manakala Melaka kekal dengan 41 orang.

Jumlah terkini mangsa di enam negeri yang terjejas akibat banjir itu adalah seramai 2,633 orang.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tangkak dalam kenyataan memaklumkan Tangkak menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, menjadikan jumlah mangsa di negeri itu seramai 319 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 266 mangsa tengah malam tadi.

Seramai 53 orang daripada 11 keluarga di daerah itu dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat tengah malam tadi susulan air naik.

“Kesemua mangsa adalah dari Kampung Simpang 5 Darat, Kampung Parit Bunga Raya Hujung dan Kampung Parit Pulai. Dengan jumlah terbaharu ini, menjadikan lima daerah kini terjejas banjir termasuk Segamat, Kulai, Kluang dan Pontian,” menurut kenyataan itu.

Di Pontian, jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Melayu Raya kekal seramai 17 orang manakala di daerah Kulai, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang menempatkan 139 mangsa dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya pula menempatkan 19 individu.

“Di Kluang, PPS Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof menempatkan 34 mangsa manakala di  Segamat, tiga PPS menempatkan 57 mangsa iaitu 39 orang di Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya (empat mangsa) manakala Dewan Komuniti Tasek (14 mangsa),” menurut kenyataan itu.

Di PERAK, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan empat lagi PPS dibuka di Teluk Intan selain daerah Larut Matang dan Selama (LMS) serta Kinta yang menempatkan 124 mangsa daripada 38 keluarga menjadikan jumlah terkini mangsa banjir pagi ini seramai 283 orang daripada 83 keluarga.

Empat PPS itu ialah Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Siputeh; Dewan Orang Ramai Sungai Lidin, Simpang; Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang dan Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan apabila 1,771 orang daripada 586 keluarga ditempatkan di lapan PPS setakat 9 pagi, berbanding 1,681 mangsa membabitkan 552 keluarga malam tadi.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di lapan PPS di daerah Pasir Mas.

Di PULAU PINANG, Penolong Pengarah Sektor Operasi APM Pulau Pinang Mej (PA) Kamal Jakarinah berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 37 individu daripada lapan keluarga pagi ini berbanding 42 orang daripada sembilan keluarga, malam tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Lahar Yooi di Tasek Gelugor manakala satu lagi PPS di Dewan Banjir Desa Puri, yang sebelum ini menempatkan seramai 39 mangsa daripada 11 keluarga telah ditutup petang semalam berikutan keadaan banjir di kawasan itu pulih.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di Alor Gajah pagi ini kekal 41 orang daripada 12 keluarga, sama seperti yang direkodkan malam tadi.

Jumlah mangsa di PPS Balai Raya Kampung Gadek tidak berubah dengan 11 mangsa daripada enam keluarga manakala PPS Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal menempatkan 30 mangsa daripada enam keluarga.

“Kesemua mangsa adalah dari Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Belimbing, Kampung Pulau dan Pengkalan di Alor Gajah,” menurut kenyataan itu.

Di SELANGOR, laman web InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus merekodkan penurunan daripada 370 mangsa membabitkan 89 keluarga malam tadi kepada 182 mangsa (53 keluarga) setakat 6.52 pagi tadi.

Enam PPS masih dibuka iaitu empat di Kuala Selangor membabitkan SK Sungai Sireh; Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai dan Dewan Orang Ramai Seri Harmoni manakala dua di Klang iaitu SK Sungai Binjai serta Dewan Masjid Kampung Johan Setia.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here