Penyata laporan pelaksanaan PN BEST disediakan jika jadi kerajaan

0
201

PERIKATAN Nasional (Perikatan) akan menyediakan penyata laporan bagi mencatat tawaran dalam manifestonya yang dilaksanakan, sekiranya berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tawaran dikemukakan Perikatan – Prihatin, Bersih dan Stabil – adalah bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan.

Untuk rekod Perikatan Nasional juga akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif yang ditawarkan itu.

“Setiap pencapaian yang tertulis pada tawaran itu akan dicatat dan dikemukakan dalam bentuk penyata laporan sebagai bukti setiap apa yang dijanji dilaksana sepanjang tempoh pemerintahan.

“Tawaran PN PRU15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan yang sudah pasti dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat.

“Insya-Allah tidak ada seorang pun yang ketinggalan dalam menikmati hasil kemakmuran negara,” kata Muhyiddin yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada PRU-15, Sabtu ini, dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata beliau turut merasakan sudah ada gelombang kebangkitan rakyat untuk memilih pemimpin berkelayakan bagi menjunjung amanah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat berbilang kaum.

“Saya menegaskan semua calon Perikatan Nasional amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk membawa suara rakyat ke Parlimen nanti,” katanya lapor Agendadaily.

Muhyiddin juga mengulangi seruannya supaya pengundi keluar beramai-ramai membuang undi Sabtu ini, bagi memilih parti yang benar-benar amanah, tidak terlibat dengan rasuah dan penyelewengan, untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Setiap ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak-anak mereka memilih pemimpin yang amanah yang dapat menggalas tugas demi pembangunan ummah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here