Jangan hina wira negara, Faizal selar Anwar berhubung dakwaan tentera dirasuah

0
178

TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengecam pesaingnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa wujud aktiviti membeli undi anggota tentera, mengatakan dakwaan tersebut menunjukkan bahawa presiden PKR itu dalam keadaan terdesak bahkan tidak menghormati lebih 140,000 tentera dan ahli keluarga mereka yang bakal mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

“Anggota tentera menggadai nyawa mereka setiap hari untuk melindungi bumi Malaysia. Wira-wira ini sepatutnya dipuji, dan bukan dihina sebagai pemakan rasuah tanpa apa-apa bukti atau keterangan.

“Adalah jelas bahawa Anwar semakin ‘desperate’ kerana jelas Pakatan Harapan (PH) kurang mendapat sokongan daripada rakyat semasa tempoh berkempen ini,” kata Ahmad Faizal dalam satu kenyataan, lapor MalaysiaNow.

Pada Jumaat, dalam sebuah ceramah di Kuala Nerus, Terengganu, Anwar mendakwa anggota tentera sudah mengundi walaupun jadual pengundian awal ditetapkan pada 15 November ini.

Beliau turut mendakwa tentera dibayar RM300 setiap seorang oleh Barisan Nasional (BN), sambil menambah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) “untuk memastikan ada penipuan dalam proses pilihan raya”.

Sebagai respons, dalam sebuah kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya menggesa mereka yang mempunyai maklumat wujud aktiviti rasuah melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Faizal berkata, dakwaan Anwar itu adalah sebuah kenyataan “paling tidak bertanggungjawab dan berniat jahat” pernah dibuat oleh mana-mana ahli politik sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat ini.

“Anwar tidak menunjukkan apa-apa bukti untuk menyokong tuduhan jahat ini. Ia adalah tuduhan melulu, tanpa asas atau bukti. 

“Terdapat 146,737 pengundi tentera dan pasangan mereka yang layak mengundi dalam PRU15. Anwar telah menghina dan mengelar mereka penerima rasuah.

“Menerima rasuah adalah suatu jenayah; adakah Anwar berpendapat bahawa anggota tentera kita adalah kesemuanya penjenayah?” soalnya.

Beliau turut berkata kenyataan Anwar itu adalah sebuah “dongeng” untuk mengatakan PRU-15 kali ini adalah tidak adil sebagai alasan sekiranya PH kalah besar.

“Adakah Anwar bersedia menarik balik penghinaan terhadap anggota tentera negara serta keluarga mereka dan meminta maaf secara terbuka?”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here