Kematian rakan dorong Lando tanding PRU-15

0
261

PEMERGIAN seorang rakan akibat kemalangan mendorong pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawai atau Lando nekad bertanding kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Brotherhood adalah gerakan sukarela digerakkan pelakon berkenaan yang juga Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia, bagi memperjuangkan isu-isu keselamatan jalan raya di negara ini.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu mengakui kematian ahli Brotherhood akibat nahas jalan raya, menjadi faktor utama beliau bertanding PRU15 dan memilih kerusi Parlimen Tanjong Karang.

“Kerusi ini dipilih bagi menghormati dan menghargai jasa Allahyarham yang tinggal di Tanjong Karang. Allahyarham komited dalam memperjuangkan isu kerosakan jalan yang boleh mengakibatkan kemalangan.

“Sehubungan itu, saya terpanggil untuk bertanding di sini, sekali gus memperingati jasa arwah kepada Brotherhood,” katanya ketika ditemui selepas menurap jalan di Jalan Parit 3, Pantai Sungai Burong, Tanjong Karang, hari ini.

Menurutnya, sokongan pengundi dilihat amat positif dan menyokong perjuangannya sepanjang kempen.

Dalam pada itu, Lando berkata, pihaknya mengenal pasti lebih 10 lokasi menghadapi masalah infrastruktur itu, termasuk di sekitar kampung.

“Justeru, ahli Brotherhood dari seluruh negara menyediakan lebih satu tan tar untuk menurap jalan rosak dan berlubang, termasuk di kawasan Tanjong Karang. Setakat ini, kami sudah melakukan turapan jalan di tiga kawasan sepanjang tujuh hari berkempen.

“Saya menjangkakan lebih banyak turapan akan dilakukan selaras manifesto utama saya untuk menaik taraf jalan sedia ada,” katanya.

Selain Lando, Parlimen Tanjong turut ditandingi Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof mewakili Barisan Nasional (BN); calon Perikatan Nasional (PN), Kapten (B) Datuk Dr Zulkapferi Hanafi; wakil Pakatan Harapan (PH), Siti Rahayu Baharin dan calon Bebas, Mohd Rosni Mastol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here