Muhyiddin gesa kerajaan tangani gangguan perkhidmatan LRT

0
184

KERAJAAN sepatutnya menyelesaikan masalah gangguan sistem pemanduan automatik Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang tergendala sejak Selasa dengan segera.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak perlu mengajar apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan kerana itu memang tanggungjawab mereka.

“Ini kerana masalah (LRT) memberi kesan kepada rakyat. Tidak boleh dilengah-lengahkan, sama ada perdana menteri atau menteri pengangkutan punya tanggungjawab.

“Walaupun kerajaan sementara, tetapi tanggungjawab tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada program Sembang Santai bersama Masyarakat Kampung Panjang Sari, Kampung Sri Menanti dan Kampung Sri Makmur, Pagoh.

Semalam, Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang tergendala akibat masalah sistem pemanduan automatik sejak petang Selasa menyebabkan ia itu terpaksa ditamatkan lebih awal.

Menerusi pengumuman rasmi Rapid KL di media sosialnya Selasa malam, perkhidmatan ditamatkan pada jam 11 malam dan bas perantara dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata isu pengangkutan terutama di Lembah Klang sangat penting untuk ditangani kerana banyak penduduk yang terkesan.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya sudah ada cara untuk tangani masalah itu.

“Kalau ada masalah teknikal, bagaimana nak menyelesaikan perkara itu.

“Sepatutnya sudah ada perancangan kalau berlaku (masalah) seperti itu, apa perlu buat dengan cepat kerana sebelum ini pernah ada pengalaman sehingga LRT rempuh. Kenapa masih berulang,” katanya, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here