Ahmad Faizal yakin Malaysia mampu juara

0
239

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin skuad hoki negara mampu meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2022, di sini, esok.

Katanya, walaupun pada awalnya skuad Speedy Tigers dilihat agak goyah, namun pasukan negara berjaya bermain dengan baik hingga layak ke pentas akhir untuk berdepan Korea Selatan.

“Ini peluang besar buat kita bagi merangkul kejuaraan. Saya harap kali ini kita benar-benar memperoleh kejayaan melalui doa, sokongan dan restu dari seluruh rakyat agar kita boleh menjulang Piala Sultan Azlan Shah yang pertama.

“Saya amat yakin Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pihak swasta dan penaja akan memikirkan insentif yang akan diberikan kepada pemain sebagai penyuntik semangat untuk bermain pada malam esok menentang Korea Selatan pada aksi final,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Tambun hari ini.

Skuad hoki lelaki negara layak ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas mempamerkan aksi berbisa membenam Jepun 4-2 dalam perlawanan terakhir liga.

Keputusan tersebut membolehkan skuad bimbingan Arul Selvaraj mengumpul 10 mata menerusi tiga kemenangan, satu seri dan satu kalah untuk menduduki tempat kedua manakala Korea Selatan mengesahkan kedudukan teratas selepas menumpaskan Afrika Selatan 2-1.

Malaysia tidak pernah muncul juara sejak kejohanan berprestij itu sejak diperkenalkan pada 1983 dengan pencapaian terbaik adalah naib juara sebanyak lima kali.

Pada edisi terakhir 2019 menyaksikan skuad negara meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kanada 4-2, manakala juara menjadi milik Korea Selatan dan India naib juara.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here