TAWARAN Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berteraskan Prihatin, Bersih dan Stabil akan menjadi wadah dalam membawa harapan rakyat dan negara ke arah Malaysia yang lebih gemilang.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran PN ini amat realistik kerana ia bukannya sekadar janji-janji pilihan raya tetapi boleh dan mampu dilaksanakan oleh PN sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada 19 November ini.
“Mesej teras 234 tawaran PN di bawah 12 tunjang dan 30 pendekatan kita ini adalah jelas iaitu untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum, demi manfaat rakyat dan negara keseluruhannya.
“Perikatan Nasional akan berpegang teguh kepada amanah untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan kerana kita cukup sedar bahawa tawaran kita adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, pada Isnin.
Semalam, parti di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah melancarkan 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden BERSATU itu juga menjelaskan, antara tawaran utama PN ialah menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan RM5 bilion ke arah menjadikan Malaysia paksi industri di Asia Tenggara, Dana Khas Pelancongan RM1 bilion dan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi untuk merancakkan ekonomi.
Dalam pada itu, semua tawaran PN termasuk banyak insentif lain untuk mensejahterakan rakyat, boleh diakses di pautan http://www.pnbest.my. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.