PERIKATAN Nasional (PN) mampu menarik undi bukan Melayu untuk menyokong mereka sekali gus memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sokongan itu mampu ditarik menerusi gerak kerja yang dilakukan oleh parti komponen seperti Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Beliau memberi contoh, Pas mempunyai Dewan Himpunan Pendukung yang dianggotai oleh bukan Melayu.
“Begitu juga dengan Bersatu ada cabangnya sendiri bagi yang bukan Islam.
“Pada masa yang sama PN turut mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang ikut serta sepanjang kempen PRU-15.
“Contoh boleh dilihat pada tiga negeri yang telah diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Kita buktikan dengan memberi keadilan, kestabilan dan keamanan kepada semua,” katanya semasa sidang akhbar pada perjumpaan tokoh masyarakat di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
“Bukan sahaja sekarang, dahulu kita pernah mencipta sejarah pada 13 Mei 1969 apabila Kelantan, Terengganu, Kedah negeri yang kuat Pas tidak berlaku huru-hara,” kata Hadi Awang lagi, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.