Bersatu terima 500 keahlian pemuda di Paroi

0
289

SERAMAI 500 orang pemuda dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi hari ini menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kesemua mereka menyerahkan borang permohonan itu kepada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan yang juga calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Rembau, Mohd. Nazree Mohd. Yunus.

Menurut Mohd. Nazree, kehadiran golongan tersebut merupakan permulaan positif dalam kempen beliau dalam usahanya mencipta kejutan di Parlimen Rembau.

“Saya bersyukur dengan permulaaan yang positif ini. Ini permulaan di Paroi dan kita akan lihat di Rantau, Chembong, Kota dan akan menggerakkan dengan baik lagi, insya-Allah.

“Pemuda-pemuda inilah merupakan ejen perubahan untuk kami mencipta sejarah baru di Parlimen Rembau, kami akan tawan parlimen Rembau ini,” katanya ketika program Sepagi Bersama Calon Rembau PN Nasional di Senawang di sini hari ini.

Mohd. Nazree yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan menambah, beliau optimis peluang untuk mencipta ‘kejutan’ tersebut berdasarkan gerak kerja parti yang dilihat semakin berkesan.

Beliau juga mendakwa mendapat sokongan padu terutama daripada hampir 70 peratus pengundi dalam golongan muda di kawasan itu serta wanita dan warga emas.

“Mereka ini adalah orang yang ada pengalaman dan ilmu serta boleh menilai pilihan yang ada (calon). Saya juga yakin PN mampu satukan hubungan antara kaum dengan baik, pilihan raya merupakan medan dakwah untuk sebarkan ilmu.

“Kita lawan orang lama di Rembau (calon BN) tapi kita mahu keputusan baharu, saya yakin anak muda bersama dengan pendirian itu, kita mahu satukan kepimpinan dan parti baru di situ,” katanya lapor Utusan Online.

Kerusi Parlimen Rembau menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Mohd. Nazree menerima saingan calon BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Jufitri Joha (Pakatan Harapan), Ramly Awalludin (Pejuang) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here