PAGI ini semua calon yang menerima watikah mewakili parti masing-masing akan menghantar borang permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan secara rasmi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah bermula.
Namun, fokus sepanjang minggu ini pasti melibatkan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang dilihat paling terkesan apabila pemimpin lama mereka atau ‘warlord’ parti itu banyak yang tidak tersenarai dan krisis dalaman parti tersebut semakin meruncing.
Pelbagai insiden berlaku selepas pengumuman calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila ramai yang tidak berpuas hati selepas nama tercicir, bibit perpecahan dalaman parti mula tercetus dikalangan akar umbi.
Dalam media sosial, sidang media di bahagian-bahagian yang tidak berpuas hati dengan nama calon diumumkan oleh Zahid diadakan sebagai tanda protes, tidak kurang juga pondok panas parti ditutup dan jentera parti sehingga sekarang tidak bergerak.
Terdapat juga perkongsian dalam media sosial insiden pergaduhan dalam mesyuarat di bahagian baru-baru ini, tular pergaduhan sesama akar umbi di UMNO Gerik.
Di Gerik, penamaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan bantahan akar umbi yang tidak mahu calon luar bertanding disitu.
Untuk rekod, Asyraf sebelum ini bertanding di Parlimen Pasir Puteh, Kelantan selepas tewas kepada calon PAS, Datuk Nik Zawawi Salleh.
Pada PRU-13, Asyraf kalah dalam saingan kepada calon PAS di Parlimen Tumpat.
Berbeza dengan situasi sebelum ini, sebaik sahaja calon diumumkan parti, pelbagai persiapan rancak berjalan tetapi kali ini nampaknya jentera BN tidak seagresif seperti di Melaka dan Johor.
Terlalu ketara perbezaan suasana semasa dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini dengan PRU-15 kali ini, keadaan ini pasti membimbangkan jika tidak ditangani segera.
Malahan, poster pemimpin utama BN juga tidak akan digantung semasa PRU-15 kali ini memandangkan sentimen rakyat yang jelas menolak Zahid sebagai calon Perdana Menteri (PM) walaupun berstatus Presiden UMNO.
Malah, ia juga kali pertama dalam sejarah negara apabila seorang Presiden tidak dicalonkan sebagai PM oleh gabungan parti pemerintah tersebut.
Akar umbi juga seakan tidak mempunyai keyakinan dibawah Zahid kemenangan besar boleh dikecapi dengan pelbagai sentimen negatif terhadap beliau, malah bekas penyandang kerusi Parlimen parti yang bertanding atas tiket BN sebelum ini tetapi tidak tercalon semula sudah ada beberapa yang mengumumkan bertanding atas tiket parti lain.
Lebih memburukkan keadaan apabila tular surat akujanji yang didakwa meminta calon-calon menandatangani perjanjian menyokong Zahid sebagai calon PM dan perlu mematuhi setiap arahan Zahid sekiranya mahu menerima watikah pencalonan.
Walaupun sudah dinafikan, ia sudah tular dan tersebar ke setiap pelosok ceruk seluruh negara, ia secara tidak langsung menunjukkan PRU-15 diadakan kali ini semata-mata hanya untuk membebaskan kumpulan kluster mahkamah.
Rakyat nampaknya sudah melihat percaturan politik Zahid sebenar yang hanya semata-mata mahu mementingkan diri sendiri daripada kepentingan rakyat, malah sebelum ini UMNO sudah dikritik hebat kerana tergesa-gesa mengadakan PRU-15 ketika negara diramal berdepan banjir tidak lama lagi.
Keadaan semakin parah apabila bekas calon BN yang disingkir Zahid kini rancak menyerang beliau dengan pelbagai tuduhan, antaranya penyandang kerusi Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa Zahid membuat keputusan pemilihan calon tanpa merujuk kepada ‘top five’ UMNO seperti yang sudah dipersetujui sebelum ini.
Dalam ceramah semasa diumumkan calon bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), Shahidan membidas Zahid sebagai pengkhianat sebenar kerana dianggap punca perpecahan ummah khususnya dikalangan orang Melayu dan Islam.
Selain Shahidan, penyandang kerusi Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar juga dalam sidang media membuat dakwaan sama dengan berkata keputusan pemilihan calon dibuat tanpa mengambil kira pandangan ‘top five’ UMNO.
Dengan pengakuan dua individu yang dianggap orang lama dalam UMNO tersebut, ia adalah jelas sekali Zahid menggunakan PRU-15 ini sebagai batu loncatan untuk mengaut kuasa demi semata-mata kepentingan peribadi dan bukannya parti.
Di khayalak umum, UMNO kini dilihat punca ketakstabilan yang berlaku dalam negara dan hanya mementingkan kuasa daripada kepentingan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun merupakan PM kerajaan sementara seakan-akan tidak mampu mengawal tindak-tanduk Zahid kerana berkemungkinan juga takut tidak mendapat watikah calon untuk bertanding.
Ismail Sabri mungkin sudah menyedari berkemungkinan nasibnya selepas PRU-15 tidak seperti yang dijanjikan oleh Zahid memandangkan perjanjian dalam pemilihan calon juga tidak diendahkan, masakan janji untuk memberi jawatan PM kepadanya sebelum ini akan ditunaikan.
Apa pilihan yang ada kepada Ismail Sabri, adakah cukup sekadar melihat Zahid meneruskan dengan keputusan yang tidak masuk akal dibuatnya atau menghentikannya?
Persepsi umum pula melihat Ismail Sabri sebagai seorang tidak mempunyai kemampuan untuk mengawal Zahid dalam membuat sebarang keputusan dan ramai melihat jika UMNO memerintah selepas ini, beliau hanya sekadar menjadi proksi kerana PM sebenar yang berkuasa adalah Zahid.
Di sebalik perpecahan yang berlaku dalam UMNO ini, parti lawan sedang mengintai peluang dan ruang-ruang yang ada untuk menyerang Zahid yang dilihat liabiliti utama dan boleh menjadi punca kekalahan BN pada PRU-15 kali ini lapor Agendadaily.
Orang ramai mula melihat kemelut yang melanda dalam UMNO adalah isyarat jelas parti tersebut tidak boleh diharapkan untuk memerintah negara kerana mereka tidak mempercayai sebuah parti yang berpecah dapat mentadbir negara dengan baik selepas ini.
Dengan pelbagai isu ekonomi dan kos sara hidup yang gagal ditangani semasa Ismail Sabri menjadi PM sebelum ini, rakyat mula menilai semula kemampuan UMNO memerintah negara jika memenang PRU-15.
Namnu, perkara itu tidak diendahkan Zahid kerana merasakan UMNO mampu menang besar, mengambil kira keputusan dua PRN sebelum ini di Melaka dan Johor.
Walaupun di Melaka dan Johor parti tersebut nampak berpecah dengan pelbagai kemelut dalaman, namun BN masih mampu meraih kemenangan dua pertiga majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
Parti lawan mungkin melihat kelebihan di sebelah mereka dengan perpecahan dalaman UMNO, namun ia bukan jaminan kemenangan akan memihak kepada mereka kerana semuanya boleh berubah jika Zahid boleh mencari helah baharu dengan memberi alasan dan hujah untuk memenangkan setiap langkah serta keputusan dibuatnya.
Pertembungan banyak penjuru pastinya memberi kelebihan kepada UMNO, ditambah pula dengan jumlah peratusan pengundi yang rendah sudah pasti kemenangan mutlak menjadi milik mereka.
Parti lawan perlu belajar daripada kesilapan di Melaka dan Johor kerana kekuatan dimiliki UMNO adalah pengundi putih mereka yang setia memangkah parti tersebut walaupun pelbagai krisis dalaman berlaku.
Sekiranya BN menang PRU-15 kali ini, nampaknya negara akan beralih ke era kerajaan yang korup seperti sebelum ini dan bekas PM bergelar banduan, Datuk Seri Najib Razak pastinya teruja dapat keluar daripada penjara.
Selamat berkempen semua parti yang bertanding!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.