PRU-15: Tertutup sudah harapan Noh Omar

0
343

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar akhirnya terpaksa menutup harapan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini, setelah Barisan Nasional (BN) tidak mencalonkan beliau di kerusi Parlimen Tanjong Karang.

Pengumuman rasmi itu dibuat Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan malam ini, sekali gus menamatkan beberapa teka teki, yang turut melibatkan pemimpin PAS Kelantan.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah penyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang, digantikan Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Habibah Mohd Yusof.

Dalam kenyataan itu, Zambry juga memaklumkan dua calon lain Datuk Che Abdullah Mat Nawi akan bertanding atas tiket PAS di kerusi Parlimen Tumpat, dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus.

“Daripada tujuh kawasan ini, dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan BN menampilkan dua calon secara ‘direct candidate’ atas sifat keterbukaan dan perpaduan,” katanya.

Che Abdullah adalah penyandang kerusi Parlimen Tumpat merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang digugurkan oleh PAS bagi PRU-15, manakala Mohd Khairuddin penyandang kerusi Kuala Nerus yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Zambry juga mengumumkan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif yang juga Pengerusi Risda dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.

Bagi Parlimen Kuala Pilah, calon BN adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah merangkap ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan, manakala calon bagi Bandar Tun Razak adalah Pengerusi MCA Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen.

Kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur pula menampilkan Naib Presiden MIC, Datuk A Kohillan Pillay.

“Dengan pengumuman ini, ia menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh BN bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan ‘pembersihan’ besar-besaran ‘warlord’ yang memihak kepada Naib Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Empat menteri yang digugurkan ialah:

  • Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bagi kerusi Parlimen P026 Ketereh yang digantikan oleh Ketua Puteri UMNO Kelantan Marzuani Ardila Ariffin;
  • Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim digantikan Rozabil Abd Rahman bagi kerusi Parlimen P003 Arau;
  • Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba digantikan Manndzri Nasib di P155 Tenggara; dan
  • Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique digantikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di P156 Kota Tinggi.

Tiga timbalan menteri juga tidak dicalonkan semula iaitu:

  • Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digantikan oleh Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan;
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid digantikan Maslin Sham Razman di P067 Kuala Kangsar; dan
  • Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib digantikan Shahaniza Shamsuddin di P086 Maran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here