Inisiatif MPN bantu pulih aliran tunai usahawan PMKS

0
279

ISU dalam sektor perniagaan sering kali dibangkitkan terutama membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas tempoh mencabar itu, kebanyakan PMKS masih lagi ‘bertatih’ membangunkan semula perniagaan mereka untuk mencapai sasaran dikehendaki.

Menangani hal itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) komited mengemukakan pelbagai inisiatif bagi membantu memulihkan kembali ekonomi dan pendapatan usahawan tempatan.

Pemilik The Lov Penang Hotel, Datuk Sharifah Shareen Al Mashoor, mengakui berdepan kesukaran sepanjang tempoh PKP disebabkan penutupan penuh sektor pelancongan.

“Disebabkan hotel tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP, pendapatan pekerja dalam sektor ini terjejas sepanjang tempoh itu. Namun, apabila semua sektor dibenarkan beroperasi semula, hampir setahun masa diambil untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Kami juga berdepan isu aliran tunai disebabkan orang ramai masih skeptikal untuk pergi berjalan pada awal pembukaan sektor pelancongan. Memandangkan lokasi hotel kami terletak di lapangan terbang, ia agak merudum kerana pelancong tak ramai ketika itu,” katanya yang mengusahakan perniagaan perhotelan sejak 2018, memetik laporan BH Online.

Bagaimanapun, katanya dengan inisiatif daripada kerajaan bagi bantuan gaji pekerja bernilai RM600 diterima, ia berupaya mengurangkan beban majikan dan pekerja ketika itu.

Pengarah Urusan Wan Vacation Sdn Bhd, Syazwan Zanini, pula berkata lanjutan moratorium daripada pihak bank yang diumumkan kerajaan ketika PKP sebelum ini, antara yang membantu ‘menyelamatkan’ syarikat pelancongannya.

“Kami ada menerima bantuan daripada kerajaan sebanyak RM3000. Nilainya agak kecil untuk syarikat pelancongan seperti kami, namun ia tetap membantu meringankan beban pekerja ketika itu.

“Kini sedikit sebanyak kami berjaya bangkit kerana sektor ini sudah dibuka dan orang ramai mula keluar melancong,” katanya yang menjalankan syarikat pelancongan.

Syazwan berkata, masalah membabitkan aliran tunai turut menjejaskan mereka disebabkan beberapa faktor seperti pembayaran pendahuluan tiket penerbangan untuk pelanggan, namun keadaan itu kini semakin baik.

Berbeza dengan pengusaha Syarikat Makteh Rempeyek, yang mencatat hasil jualan kerepek lumayan ketika PKP.

Hasil lumayan ketika PKP

Pengurusnya, Faizul Eqwan Rosli, berkata ketika PKP, syarikat itu mencatatkan hasil jualan sebanyak RM1 juta, tetapi selepas tempoh ‘berkurung’ tamat, perniagaan mengalami penurunan disebabkan kenaikan harga barangan.

“Kami berdepan masalah aliran tunai dan kadang-kadang perlukan masa sehingga dua hingga ke tiga hari untuk pulih. Bagaimanapun, inisiatif daripada kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara membantu peniaga kecil,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkaitan isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada PMKS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here