LCS: SPRM sedia jumpa Raja Petra atas dakwaan babit Zahid

0
577

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menemui penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaannya terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima sogokan SGD20 juta (kira-kira RM67 juta) berkaitan projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu FMT, agensi itu akan membenarkan Raja Petra yang dikenali sebagai RPK mencadangkan lokasi pertemuan seperti yang dicadangkan penulis blog itu dalam video di laman sesawangnya semalam.

“Kami sedia bertemunya. Dia boleh memilih lokasi untuk jumpa pegawai saya bagi membolehkan kami mendapatkan maklumat lanjut daripadanya berhubung dakwaan itu,” kata Azam.

Raja Petra mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu menerima wang itu menerusi lapan bayaran secara berperingkat antara 2012 dan 2013.

Beliau mendakwa urus niaga itu dipermudahkan melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia.

FMT sudah menghubungi Zahid untuk mengulas.

Raja Petra turut mendakwa mempunyai dokumen dan bukti mengaitkan Zahid dengan skandal itu.

Dalam video itu, penulis blog itu menyampaikan jemputan kepada SPRM ke UK, negara dipercayai menjadi pangkalannya, untuk bertemunya bagi menyerahkan dokumen terbabit.

Projek LCS berada di bawah penelitian Parlimen kerana tidak menghantar enam kapal mengikut kontrak.

Dalam laporannya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebuah pun kapal yang siap setakat ini, walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion.

Kontrak untuk memperoleh kapal itu diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus pada 2011.

Ogos lalu, bekas pengarah urusan BNS, Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa melakukan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta. Ramli juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu LCS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here