Pengalaman urus negara waktu sukar, kelebihan Muhyiddin

0
253

“SEMUA layak tetapi adakah mereka mampu menguruskan negara? Adakah mereka faham apa sebenarnya yang negara hadapi ketika ini?.”

Itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara berhubung lawan-lawannya sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Tidak menidakkan keupayaan calon-calon Perdana Menteri daripada setiap parti, namun Muhyiddin yang berpengalaman mentadbir negara ketika tempoh paling sukar semasa pandemik melanda negara dilihat mempunyai kelebihan.

Menurut Muhyiddin yang diletakkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN memenangi PRU-15, negara memerlukan anjakan besar untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang disifatkannya kritikal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tahun hadapan akan menjadi lebih sukar apatah lagi ramalan Bank Dunia bahawa kemelesetan ekonomi bakal berlaku.

“Saya tidak mahu pertikai keupayaan rakan-rakan sebelah sana, siapa bakal calon Perdana Menteri.

“Tidak adil untuk saya katakan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak layak, Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak layak, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak layak.

“Namun bagaimana mereka mahu menyelesaikan masalah? Seberapa pantas anda selesaikan? Lima tahun? Tak mungkin. Paling lama kita ada kira-kira dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama UtusanTV, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, proses pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian dan dilakukan sepantas mungkin.

Jelas beliau, Perdana Menteri selepas PRU-15 juga mesti berkeupayaan untuk menguruskan kedudukan kewangan negara yang terjejas pasca COVID-19.

“Adakah mereka tahu kedudukan kewangan kerajaan? Bagaimana nak mengurus? Nak curi macam 1MDB? Wallahi, jangan. Berdosa besar.

“Jadi bagaimana? Anda perlu tahu bagaimana, dasar fiskal, kewangan kerajaan, bagaimana menjana pendapatan. Ini bukan perkara kecil.

“Saya dah melalui banyak pilihan raya, mungkin sembilan ke 10 pilihan raya. Sebelum ini bolehlah ramalkan Barisan Nasional (BN) menang.

“Kali ini jika BN menang, maknanya negara akan merudum jatuh,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here