PVIP:RM4 juta deposit babitkan 2,000 pemohon diterima

0
235

SEJUMLAH RM4 juta deposit untuk menyertai Program Visa Premium Malaysia (PVIP) telah diterima sejak 1 Okt lepas hingga kini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata jumlah itu membabitkan 2,000 pemohon daripada 10,300 permohonan yang diterima setakat ini untuk program fasa pertama yang membuka hanya 20,000 kuota peserta yang layak.

“PVIP telah menerima RM4 juta deposit, ini menunjukkan bahawa ramai orang nak duduk di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Kita Demi Negara – Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Dataran Lembah Sireh, Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata proses semakan semua permohonan PVIP dilakukan secara terperinci termasuk melibatkan kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL).

“Semakan dibuat seperti orang itu baik ke, betul ke ada, layak, ada duit yang boleh menguntungkan negara atau tidak serta memiliki rekod yang baik atau tidak.

“Kita bekerjasama dengan INTERPOL untuk memastikan kesahihan orang ini (pemohon), sama ada mereka sebenarnya melakukan jenayah di negara sendiri dan nak lari datang ke negara kita, itu semua (proses semakan) mengambil masa,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan PVIP Malaysia bagi menarik minat hartawan global menetap dan melabur di Malaysia, yang terbuka kepada semua peringkat usia dan warganegara, kecuali Israel atau negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here