PM Britain: Pelantikan Rishi Sunak diraikan pemimpin, rakyat India

0
218

SAMBUTAN Deepavali menjadi lebih bermakna tahun ini bagi masyarakat India selepas Rishi Sunak yang berasal dari India dipilih sebagai Perdana Menteri Britain bukan kulit putih pertama.

Kejayaan Sunak turut diraikan pemimpin dan rakyat India termasuk Perdana Menteri, Narendra Modi, apabila laman sosial dibanjiri dengan ucapan tahniah buat pemimpin berusia 42 tahun yang juga bekas Menteri Kewangan Britain.

Mereka menyifatkan detik pemilihan Sunak sebagai Perdana Menteri lebih istimewa kerana ia menjadi simbolik bagi sambutan 75 tahun kemerdekaan India daripada penjajahan British.

Sunak, 42, dijangka mengambil alih kepemimpinan di Britain secara rasmi hari ini selepas pesaingnya, Boris Johnson dan Penny Mordaunt menarik diri daripada persaingan bagi menggantikan Liz Truss sebagai ketua parti Konservatif.

Truss meletak jawatan selepas sebulan setengah mentadbir negara itu selepas kehilangan sokongan.

Kejayaan Sunak ternyata mendapat perhatian khususnya oleh India apabila wajahnya terpampang di muka depan akhbar negara itu.

Modi, turut menganggap pelantikan Sunak sebagai Perdana Menteri mampu menjadi jambatan bagi hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, ia termasuklah pelan bagi meningkatkan perdagangan dan hubungan penting lain antara dua negara.

“Sebagai pemimpin baharu United Kingdom (UK), saya berharap kerjasama rapat dalam isu global dapat dilaksanakan khususnya dalam aspek Pelan Hala Tuju 2030.

“Ucapan istimewa Deepavali ditujukan buat penghubung antara India dan UK, di mana hubungan sejarah dua negara ini boleh ditranformasikan kepada rakan kongsi moden,” katanya.

Keluarga Sunak mula berhijrah ke Britain pada 1960-an, yang memerintah India selama kira-kira 200 tahun sebelum negara Asia Selatan itu mencapai kemerdekaan pada 1947.

Sunak yang juga bekas Canselor Perbendaharaan British, dilihat meraikan sambutan Deepavali dengan menyalakan lilin di luar perkarangan ‘Downing Street’ iaitu pejabat rasminya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Chennai, D Muthukrishnan, berkata kejayaan Sunak adalah detik bersejarah buat India, apatah lagi negara itu baharu menyambut hari kemerdekaannya.

“Rishi Sunak mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada (kitab suci Hindu) Bhagavad Gita. Jika beliau mengulangi perkara sama selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, ia amat istimewa buat India,” ciapnya di Twitter.

Sebelum ini, India yang mempunyai populasi seramai 1.4 bilion penduduk itu berbangga dengan kejayaan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dan Ketua Pegawai Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai.

Sementara itu, di sebalik kejayaan itu, ada juga pendapat yang menyatakan Sunak tidak berdepan laluan mudah apabila beberapa ahli Parlimen mempersoalkan sama ada Britain boleh membenarkan ahli minoriti untuk mentadbir negara itu.

Ahli Parlimen Kongres, Shashi Tharoor di Twitter berkata, situasi di mana Britain akan membenarkan orang luar menjadi Perdana Menteri adalah sesuatu yang amat jarang berlaku di dunia.

“Ketika kita, masyarakat India meraikan kejayaan @RishiSunak, namun mari kita jujur, bolehkah ia berlaku di sini?” – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here