Kenaikan OPR: Hutang meningkat, ramai terpaksa ikat perut

0
240

PERSATUAN Pengguna Kedah (Cake) membantah kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kali keempat yang dijangka berlaku pada bulan depan.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya sudah mula menerima aduan pengguna terutama dalam kalangan M40 termasuk penjawat awam yang mengeluh komitmen kewangan masing-masing yang meningkat.

“Kita tengok selepas pandemik, OPR ini berada pada paras 1.75 peratus dan kemudian pada 2022 ini sudah berlaku tiga kenaikan dengan setiap kali kenaikan 0.25 peratus. Ini membebankan pengguna.

“Pada Mei dan Julai lepas mungkin pengguna belum merasai kenaikan tersebut tetapi ketika ini sudah ada yang rasa terjejas kerana ansuran rumah mereka misalannya semakin bertambah kalau dahulu naik RM50 hari ini sudah RM150. Kita dengar OPR ini akan naik lagi untuk kali keempat November ini, Jadi Cake membantah sekeras-kerasnya,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Baru-baru ini, beberapa firma penyelidikan termasuk MIDF Research meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR buat kali keempat tahun ini sebanyak 25 mata asas lagi pada November ini berikutan Indeks Harta Pengguna (IHP) teras yang kukuh pada September lepas.

HSBC Global Research turut menjangkakan BNM menaikkan OPR sehingga 3.50 peratus termasuk kenaikan 25 mata asas lagi yang akan diputuskan semasa mesyuarat MPC BNM pada November ini yang sekali gus menyaksikan OPR 2.75 peratus menjelang hujung tahun.

BNM menaikkan OPR pada Mei dan Julai lepas masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus dan seterusnya pada bulan lepas sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Mohd Yusrizal berkata, penambahan ansuran pinjaman ekoran kenaikan OPR itu juga bukan sahaja  menyebabkan kedayaupayaan pengguna untuk memiliki rumah semakin rendah tetapi memberi impak kepada kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ketika ini kenaikan kos sara hidup semakin meningkat. Kalau ansuran rumah bertambah jadi yang menyewa rumah, kadarnya tentu akan naik juga. Hari ini kita amat terkesan dengan kenaikan harga barang.

“Pengguna hari ini terpaksa mencari jalan untuk bayar hutang sahaja setiap bulan kerana baki gaji semakin berkurangan. Jadi rasa-rasanya cukuplah tiga kenaikan ini, ada pengguna tinggal baki RM150 sebulan selepas bayar hutang. Bukan perbelanjaan mereka berjaya dikecilkan tetapi nak belanja pun tak cukup untuk anak-anak sekolah lagi. Banyak terpaksa ikat perut,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Cake akan menghantar satu memorandum kepada BNM pada 28 Oktober ini sebagai membantah kenaikan OPR yang berterusan itu.

“Saya akan turun sendiri bertemu dengan Gabenor Bank Negara dan akan bincang hal ini. BNM menjelaskan kenaikan OPR ini untuk mendidik pengguna tetapi carilah jalan lain untuk mendidik dalam keadaan kos sara hidup rakyat yang meningkat.

“Kita percaya terdapat banyak pakar ekonomi yang boleh berbincang untuk mencari jalan lain selain menaikkan OPR secara berterusan sehingga membebankan pengguna,” katanya memetik laporan Kosmo!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here