Inisiatif MPN bantu rangsang ekonomi

0
221

 Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun lalu cukup memberi kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga sebahagiannya terpaksa beralih kepada bidang lain, kehilangan pendapatan serta ‘gulung tikar’.

Usahawan tekstil dan pakaian sedia dipakai, Siti Normah Md Desa, 37, antara yang paling terjejas berikutan tidak dapat keluar rumah susulan sekatan PKP hingga memaksanya mempelajari kaedah menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Disebabkan hanya terperuk di rumah, saya mengikuti kelas pemasaran melalui Facebook, ‘Google meet’ bagi mendalami kemahiran teknik penjualan produk dalam talian. Namun, cabaran besar adalah perlu melanggan perkhidmatan internet, mempunyai komputer riba dan pencetak.

“Mujur, moratorium yang dicadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN), sedikit sebanyak meringankan beban PMKS untuk bertahan mengharungi tempoh mencabar sepanjang COVID-19 memuncak.

“Sokongan dan bantuan kerajaan itu menyelamatkan usahawan dan membantu perniagaan kembali stabil,” katanya memetik laporan Berita Harian pada Ahad.

Siti Normah berkata, penubuhan MPN menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada usahawan, antara golongan yang paling terjejas sepanjang tempoh pandemik.

“Pada masa sama, saya bersetuju dengan cadangan Pengerusi MPN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya dibangunkan satu sistem komprehensif yang berfungsi mempermudahkan proses penyaluran bantuan secara menyeluruh kepada semua PMKS.

“Ini berikutan ramai usahawan berada di luar bandar dan sukar mendapat maklumat mengenai kemudahan ini. Saya harap tiada kelompok PMKS tercicir daripada menerima bantuan itu,” katanya.

Baru-baru ini, pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Kerangkuman Sosial, MPN mengesyorkan supaya kerajaan membangunkan satu sistem komprehensif bagi memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat.

Tingkat usaha bantu PMKS

Kerajaan juga diminta menumpukan kepada usaha untuk sektor PMKS, yang memberi sumbangan utama kepada ekonomi negara.

Pekerja swasta, Fairuz Karmila Ahmad, 35, menyifatkan peralihan ke fasa endemik ketika ini cukup bermakna terutama kepada anak perempuannya yang berusia lima tahun selepas dua tahun terkurung disebabkan COVID-19.

“Hanya sekarang anak saya itu berpeluang mengikuti pembelajaran bersemuka, dapat beriadah, bergaul dan guru dapat mengajar di kelas, sekali gus membantu murid meningkatkan pengetahuan am, berbanding ketika PKP, semua interaksi hanya di sebalik skrin komputer.

“Selain itu, sebagai ibu bekerja banyak perubahan kini diadaptasi susulan tempoh mencabar COVID-19, antaranya kakitangan pejabat terbiasa dengan kursus secara maya, pembayaran digital dan tempat saya bekerja masih menerapkan budaya kerja tiga hari di pejabat dan dua hari lagi fleksibel,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kebenaran pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cukup bermakna menampung kelangsungan hidup, menambah simpanan dan modal untuk perniagaan sampingan.

Sementara itu, ibu kepada enam cahaya mata, Mussalme Jaafar, 44, terpaksa melakukan tiga pekerjaan dari pagi hingga ke malam untuk mencukupkan keperluan keluarga yang berada dalam kategori kumpulan berpendapatan rendah (B40).

“Dari pagi hingga ke tengah hari, kerja hakiki saya di pejabat badan pengurusan dan petang, melakukan kerja mengemas (housekeeping) resort dan malam pula berniaga burger.

“Kemelut COVID-19 menyukarkan kehidupan dan PKP memburukkan keadaan. Keadaan kerja berubah dan saya juga antara yang terkena tempias apabila gaji dipotong.

“Mujur, rakyat dibenarkan mengeluarkan duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia membantu kami menampung hidup di waktu sukar,” katanya yang menetap di Bukit Katil, Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here