PN fokus urus masalah ekonomi rakyat, bukan soal bebaskan diri – Muhyiddin

0
1158

FOKUS Perikatan Nasional (PN) jika diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah bagi menguruskan masalah rakyat, khususnya isu kebajikan dan ekonomi negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan baharu yang dibentuk tidak akan memikirkan cara untuk membebaskan diri daripada kes mahkamah sebaliknya keutamaan adalah berhubung isu kebajikan rakyat yang sedang bergelut dengan kesempitan hidup akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Perkara utama jika Perikatan Nasional menjadi kerajaan adalah soal menguruskan masalah rakyat, bukan soal bagaimana nak bebaskan diri daripada mahkamah… Itu bukan.

“Macam mana diamanahkan oleh rakyat, kita mesti laksanakan dan mesti dibuat secara cepat kerana kalau lambat, banyak lagi akan masalah timbul,” katanya semasa Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Kelantan malam tadi.

Jelas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, situasi ekonomi negara dijangka berdepan cabaran memandangkan dunia sedang menuju kemelesetan ekonomi dan sekiranya tidak diurus dengan baik, dibimbangi ia bakal memberi kesan lebih buruk kepada rakyat.

“Tahun hadapan dijangka seluruh dunia akan hadapi satu situasi kemelesetan, kemerosotan ekonomi yang jatuh, lebih teruk daripada tahun ini.

“Dan Malaysia tidak terkecuali, sebab itu saya kata yang penting pentadbiran kerajaan baru nanti bagi fokus tentu saya nak kata kat sini antara fokus yang paling utama di sini ialah soal nak menyelamatkan rakyat yang sudah tertekan dengan masalah pendapatan yang sudah jatuh tidak ada pekerjaan,” katanya lagi.

Terdapat petanda yang sudah menunjukkan negara bakal berdepan situasi yang agak mencabar pada tahun depan, oleh itu Muhyiddin menggesa agar rakyat memilih kerajaan yang betul-betul mempunyai kemampuan untuk menguruskan keadaan negara semasa keadaan sukar.

“Harga barang yang melambung, inflasi yang begitu tinggi, ringgit yang sudah jatuh. Semua ni petanda-petanda yang tidak baik.

“Bagaimana kita nak menguruskan? Itu akan menjadi keutamaan kerajaan insya-Allah,k alau kita menang pilihan raya yang akan datang ini… Sebab itulah bagi saya banyak lagi yang kita nak buat,” ujarnya lagi.

Selain menguruskan ekonomi, Muhyiddin juga memberi jaminan peluang pekerjaan kepada golongan anak muda akan menjadi tumpuan kerajaan yang baharu akan dibentuk nanti.

Muhyiddin juga menyentuh berhubung royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan dan memberi jaminan akan ditunaikan sekiranya kerajaan PN kembali memerintah negara kembali.

“Royalti minyak, kita bagi sepenuh-penuhnya. Tidak akan dipersoalkan lagi.

“Sebanyak empat ratus juta, kalau tak silap saya yang telah pun kita serahkan kepada kerajaan di Kelantan pada 2020 dan 2021 lalu,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here