‘Durian lama-kelamaan jadi tempoyak’, jawab Abdul Hadi kepada Zahid

0
248

SELEPAS mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutarbelit fakta pertemuan mereka kepada media semasa perbincangan bentuk kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) awal bulan ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut membuat dakwaan lain.

Dalam Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Kelantan malam tadi, penyandang kerusi Parlimen Marang itu turut mendakwa, beliau terdengar kenyataan Ahmad Zahid yang menyamakan UMNO sebagai durian dengan duri yang tajam, manakala Pas hanyalah sekadar timun.

Menurut beliau, durian lama-kelamaan akan menjadi tempoyak bila tiba masanya.

“Saya dengar kenyataan dia (Ahmad Zahid). Jaga-jaga dia kata…dia kata “Kami (UMNO) ini durian, Pas pula timun.

“Ha tak apa, biarlah kamu durian kami timun tak apa. Kita sabar. Kita lok (biarkan). Biar durian itu masak, luruh dan jatuh. Lok (biarkan) jadi tempoyak. Lepas jadi tempoyak, selam (cicah) dalam budu. Ambil timun tenyeh di atas (tempoyak dalam budu). Akan tiba masanya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, kerjasama UMNO dan Pas disifatkan durian mentah ekoran sikap kurang sabar pihak tertentu.

“Ada orang kita tu nak menang deghah (cepat). Kita ingat Muafakat Nasional (MN) boleh menang cepat kerana UMNO ni banyak cawangan dia dan duit dia banyak. Ingatkan kita boleh tumpang sama untuk menang.

“Saya kata jangan cepat sangat. Macam buah durianlah. Putik lagi dan jangan dikait takut jatuh atas kepala. Saya kata tunggu masak tetapi dia marah.

Ahmad Zahid pada 16 Oktober lalu menzahirkan kekecewaan selepas Abdul Hadi menyamakan kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar itu dengan ‘durian mentah’.

Kata penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu, tindakan label-melabel pihak lain dengan sesuatu yang buruk disifatkan sebagai tidak wajar.

Walaupun kerjasama UMNO dengan Pas dilabel sebagai ‘durian mentah’, namun, Ahmad Zahid mengingatkan Abdul Hadi bahawa raja buah itu juga mempunyai duri yang tajam.

Sebelum itu dalam majlis sama, Abdul Hadi mendakwa Ahmad Zahid memutarbelit fakta berhubung pertemuan mereka sebelum ini dengan mengatakan kononnya beliau yang meminta untuk berjumpa.

Abdul Hadi berkata, Presiden UMNO itu yang sebenarnya meminta untuk berjumpa dengan beliau bagi membincangkan bentuk kerjasama untuk menghadapi PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here