Mengundi adalah fardu kifayah bagi umat Islam

0
205

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mengundi di dalam pilihan raya merupakan amalan fardu kifayah dan termasuk sebagai salah satu cara atau kaedah bagi mencapai kemaslahatan rakyat.

Menurut beliau, penyertaan di dalam pilihan raya dengan niat memilih wakil rakyat yang baik boleh dianggap amalan saling bekerjasama pada jalan kebajikan dan takwa yang amat digalakkan di dalam Islam.

Jelas beliau, mengundi di dalam pilihan raya juga adalah termasuk sebahagian daripada bab muamalat yang terbina di atas kepentingan umum.

“Namun, umat Islam dilarang memilih seorang calon yang diketahui tidak bertanggungjawab dan mengkhianati amanah terhadap agama, negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Salim, umat Islam juga dilarang memilih individu yang menyeru kepada kesesatan atau maksiat kerana dibimbangi individu itu akan menyalahgunakan kuasa, jawatan dan kedudukan untuk merosakkan agama, masyarakat dan negara.

“Ungkapan Nabi Yusuf sebagaimana di dalam al-Quran yang mana calon yang layak dipilih mewakili rakyat mestilah memiliki dua kualiti peribadi.

“Iaitu dapat memelihara amanah yang diharapkan oleh para pengundi dan mempunyai kebolehan atau kecekapan mengurus serta mengendalikan pekerjaannya dengan baik,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam juga diharuskan memilih calon daripada kalangan bukan Islam sekiranya terbukti atau diyakini boleh memberi perkhidmatan yang berfaedah kepada rakyat dan negara termasuk kemajuan agama Islam.

Ia katanya, selari menurut pandangan beberapa ulama muktabar seperti Imam Ramli, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Khatib Syarbini di dalam kitab-kitab karangan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap calon PRU-15 perlu ingat bahawa pemerintahan adalah satu amanah dan tanggungjawab yang berat.

Sehubungan itu jelas beliau, setiap calon perlu mengutamakan kepentingan rakyat di atas kepentingan diri atau kumpulan tertentu sekiranya menang dalam pilihan raya nanti dan terpilih sebagai wakil rakyat.

“Kepada para pengundi pilihlah calon yang mempunyai sifat jujur dan amanah, berintegriti dan prihatin kepada kepentingan rakyat di samping sedia berkorban untuk membela nasib mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here