‘Tiada isu antara saya dan Zahid’ – PM

0
174

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai sebarang isu atau berlaku perpecahan seperti dakwaan atau tohmahan sesetengah pihak.

Naib Presiden UMNO itu berkata adu domba mengenai perkara tersebut adalah lebih kepada misi untuk memecahkan mereka yang kelak menguntungkan pihak bertanggungjawab membuat tohmahan terutama pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Saya beri jaminan tiada isu antara saya dan Ahmad Zahid Hamidi tetapi (wujud) ‘nasi-nasi tambah’ di luar sana sebenarnya kerana apabila kita berpecah, yang untung mungkin mereka.

“Pepatah Melayu menyatakan ‘antan sama antan berlaga, ayam di tepi kekenyangan.’ Kita berlaga, dia untung. Jadi marilah kita bersatu, biarkan dia yang rugi,” katanya semasa melancarkan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini yang dihadiri pelbagai lapisan pemimpin komponen, parti serta masyarakat setempat.

Ismail Sabri berkata apabila timbul pelbagai perkara dan persepsi luar berkaitan fitnah perpecahan tersebut, beliau dan Ahmad Zahid duduk berbincang bagi menghentikan serta menepis persepsi jahat itu.

Justeru, beliau berkata adalah penting bagi BN untuk terus bersolidariti mengukuhkan perpaduan yang ada agar tidak lemah diserang tohmahan mana-mana pihak khasnya kem pembangkang.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, Ismail Sabri berkata BN hadir pada PRU15 bukan sekadar untuk bertanding tetapi mahu menang dengan majoriti lebih besar agar mudah menguasai Putrajaya seterusnya membuat pelbagai keputusan bersama-sama parti komponen.

“Kita kena pastikan BN menjadi parti dominan kerajaan yang akan dibentuk. Jika BN memenangi 30 hingga 40 kerusi sahaja, kita tidak akan kuasai Kabinet.

“Sekurang-kurangnya 80 kerusi atau dua pertiga barulah kita ada kuasa kita dan orang akan dengar cakap kita. Kalau parti tidak kuat, tidak dominan, susah untuk kita membuat keputusan dan menguasai Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata pembubaran Parlimen adalah bagi memberi laluan kepada PRU15 supaya rakyat boleh memilih kerajaan baharu namun niat itu disalah erti oleh kem pembangkang.

“Apabila bubar Parlimen, pembangkang sepatutnya seronok kerana pelbagai tuduhan dibuat tentang keabsahan kerajaan yang ada.

“Jadi biar rakyat tentukan siapa jadi kerajaan. Tiba-tiba mereka tidak setuju dengan pembubaran Parlimen sehingga mahu diisytiharkan sebagai tidak sah di mahkamah. Saya tidak faham apa mereka mahu sebenarnya,” kata beliau.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here