PARTI Bersatu Sabah (PBS) hari ini menegaskan bahawa ia kekal dengan pendirian untuk bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai jalinan kerjasama pemimpin dan rakyat yang tulen di Sabah.
Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai berkata justeru, berita disiarkan sebuah portal yang mendakwa kononnya lebih separuh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu ingin bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) adalah tidak benar.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu itu juga berkata meskipun terdapat beberapa AMT yang membangkitkan perkara tersebut pada mesyuarat minggu lepas namun tiada sesi undian diadakan untuk menentukan keputusan parti.
“Prinsip pengurusan dan pembuatan keputusan di peringkat Majlis Tertinggi PBS adalah melalui resolusi sebulat suara, bukan proses undian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Selain PBS, GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional bagi mentadbir negeri itu. -BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.