PRU-15: Pegawai JPN digerak ke kawasan banjir, bantu mangsa dapatkan pengenalan diri sekiranya hilang

0
296

PEGAWAI Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digerakkan ke kawasan pedalaman menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi membantu mangsa banjir mendapatkan dokumen pengenalan diri yang baharu sekiranya hilang.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, insiatif itu diambil bagi memastikan setiap rakyat mempunyai identiti pengenalan diri bagi tujuan mengundi.

“Saya dah maklumkan kita kena bersedia untuk kepentingan rakyat, kalau dokumen tak ada, peratusan mereka yang mengeluar undi agak rendah. 

“Ia tidak sesuai… sebuah negara bertamadun dan berdaulat seperti kita ini (peratusan) keluar mengundi rendah dalam pilihan raya,” katanya, lapor Astro AWANI.

Mengulas mengenai kejadian banjir menjelang PRU-15, ujar Hamzah, ia sudah pun berlaku di beberapa kawasan ketika ini.

“Saya cuba cerita, memang betul di Langkawi banjir dua tiga hari sudah, di Sarawak sebelum itu di Johor, itu fakta di Tanjung Karang pun berlaku minggu lepas,” katanya lagi.

Mengenai persiapan anggota keselamatan pula ujar Hamzah, persiapan rapi telah dibuat, namun tidak meliputi keseluruhan kawasan, hanya di kawasan jangkaan banjir sahaja.

“Sebab itu kita kata dalam keadaan biasa, kita sentiasa bersedia, sebab dalam Malaysia banjir merata rata, tidak datang sekali, semalam di Langkawi, sebelum itu di Johor dan Sarawak.

“Jadi sebab itu ia (banjir) berlaku secara merata-rata, sebab itu kita bersedia menghantar ke tempat tertentu.

“Kalau nak kata bersedia ke semua tempat sekali, saya minta maaf tak bersedia. Tapi untuk kawasan tertentu kita bersedia,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara ke-74 bagi tahun 2022 di ibu pejabat JPN di sini pada Isnin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here