Jho Low kawal syarikat USD333 juta di China, dakwa pengarang Billion Dollar Whale

0
242

AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, mempunyai kawalan ke atas USD333 juta melalui syarikat British Virgin Islands yang mempunyai pejabat di Shanghai, kata pengarang buku mengenai skandal 1MDB.

Memetik rekod awam, Bradley Hope berkata, Jinweijing Business Consulting baru-baru ini menukar pemilikan daripada JynWel, syarikat induk milik keluarga Low, kepada entiti lain, Grace Zenith Limited.

Hope berkata, Jinweijing ditubuhkan oleh Low dan rakan perniagaannya, Seet Li Lin, pada 2015, dan mempunyai pejabat di Pusat Kewangan Dunia Shanghai.

Syarikat itu kemudian menukar namanya kepada Guiyue Business Consulting, dengan nama Low dan Seet dikeluarkan daripada rekod, katanya.

Beliau mendakwa pemilik baharu Guiyue, Grace Zenith, membayar modal langgan USD333 juta untuk ditempatkan dalam syarikat itu.

“Ini mencadangkan bahawa (syarikat) ini adalah salah satu tempat utama Jho Low meletakkan wang 1MDB,” katanya dalam program “Di mana Jho Low?”

Hope mempersoalkan apa perniagaan sebenar Grace Zenith, yang berpangkalan di British Virgin Islands, dan aset lain yang mungkin dimilikinya. Dakwanya, syarikat itu masih beroperasi.

“Anda mungkin fikir dengan (adanya) penjenayah kewangan yang begitu terkenal, dunia akan sentiasa berwaspada terhadap sebarang potensi penyalahgunaan sistem kewangan global,” katanya.

“Ini menunjukkan bahawa jika anda ada banyak wang dan anda mengubahnya (secara haram) pada tahap yang tinggi, tiada siapa boleh ‘sentuh’ anda.”

Hope berkata, beliau mula mencari Low menerusi media sosial pada Ogos.

Low, yang didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion daripada 1MDB, dipercayai berada di Macau, walaupun Beijing menafikan melindunginya.

Buku Hope, “The Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World”, yang ditulisnya bersama Tom Wright, mengisahkan skandal rasuah 1MDB, dengan menggambarkan Low sebagai dalangnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here