Agong kecewa perkembangan politik, zahir harapan PRU-15 sebelum Monsun Timur Laut

0
369

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah manzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dalam negara.

Pada masa sama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil.

Justeru, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat.

Kata beliau, ia mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November depan.

“Seri Paduka menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Seri Paduka mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah khususnya bencana banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil memberitahu, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara, semalam.

Dalam sesi menghadap tidak berjadual pada pukul 12 tengah hari itu, Ahmad Fadil berkata, Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Al-Sultan Abdullah bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa hari ini, 10 Oktober.

“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka selaras dengan kuasa-kuasa baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14,” katanya.

Parlimen sah dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi sejak minggu lalu bahawa Parlimen akan dibubarkan.

Dalam perutusan khas pada pukul 3 petang tadi, Ismail Sabri memaklumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here