Tolak bubar Parlimen tak maksud tarik sokongan untuk PM – Hamzah

0
293

KEPUTUSAN Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini tidak boleh ditafsir sebagai menarik sokongan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, isu pembubaran Parlimen dan menyokong Ismail ialah “bab berbeza”.

“Itu bab lain,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di Shah Alam.

Hamzah berkata demikian ketika ditanya sama ada surat daripada 12 anggota Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan pendiriannya tidak bersetuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini bererti PN menarik sokongan kepada perdana menteri.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan sama ada surat yang diutuskan oleh 12 menteri PN itu boleh dianggap sebagai hilangnya kepercayaan anggota Jemaah Menteri terhadap Ismail.

Menurut Asyraf, berdasarkan Klausa 4, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sudah hilang kepercayaan majoriti, beliau boleh meletak jawatan atau menasihatkan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, keputusan yang dicapai oleh 12 menteri itu berdasarkan konsensus parti dalam PN.

“PAS buat keputusan tak mahu adakan PRU, dan Tan Sri Abdul Hadi Awang buat kenyataan. Kami juga boleh buat kenyataan.

“Kami menteri-menteri terima arahan untuk tidak juga mahu diadakan PRU pada masa terdekat kerana ikut keputusan parti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here