Pelajar tingkatan empat ditemui lemas di kolam kuari

0
281

KERIANGAN sekumpulan remaja mandi-manda di kolam takungan sebuah kuari terbiar di Bukit Belah, Sungai Petani, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka hilang sebelum ditemukan lemas, semalam.

Mangsa berumur 16 tahun dan merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir sebelum itu dikatakan ke lokasi berkenaan bersama rakan-rakannya dari Kampung Bukit Berapit, Tikam Batu pada pukul 3 petang.

Kolam takungan sedalam kira-kira enam meter itu memang dikatakan menjadi tempat orang ramai mandi-manda kerana tiada pengawal ditempatkan di situ sejak kuari tanah merah itu ditutup tiga bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa dipercayai mengalami kekejangan semasa berenang sebelum dilihat tenggelam timbul.

“Mangsa disedari hilang lima minit kemudian sebelum kami cuba menyelam untuk mencari, namun gagal menemuinya. Kami kemudian maklumkan kepada ahli keluarganya sebelum mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua BBP Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.40 petang.

“Kami menggunakan anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan selepas mencari selama 10 minit mangsa ditemukan di tepi kolam takungan itu yang tidak jauh dari tempat dia dilaporkan tenggelam.

“Sebaik dinaikkan, mangsa diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) namun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat dihantar untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here