MPN gesa kerajaan bertindak segera selamatkan PMKS

0
246

ISU dan cabaran dari aspek pemulihan yang dihadapi pengusaha perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) harus diberi perhatian dengan segera untuk mampu bernafas dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk memastikan proses pemulihan ekonomi yang sekata dapat dicapai, kerajaan harus memastikan sebanyak mungkin PMKS seluruh negara diberi “talian hayat”.

“Saya risau jika tiada langkah drastik yang diambil Kerajaan terutamanya dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, lebih banyak lagi PMKS yang terpaksa gulung tikar.  

“Apa yang lebih parah, lebih ramai rakyat Malaysia yang mungkin juga akan  kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis selepas mengadakan perbincangan meja bulat bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Bekas perdana menteri itu berkata, pihak DPMM turut menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terutamanya pengusaha perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengenai masalah aliran tunai. 

Ini selari dengan saranan yang dibuat MPN sebelum ini supaya PMKS diberi moratorium khas berikutan sektor-sektor ini masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik COVID-19. 

“Situasi ini diburukkan lagi dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman ataupun OPR tiga kali berturut-turut oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini.

“Pihak DPMM juga menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terhadap denda dan penalti oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dikenakan kepada usahawan-usahawan Melayu yang baru pulih disebabkan pandemik dan berharap pihak LHDN dapat memberi budi bicara dalam perkara ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here